Thursday 4 March 2010

Shaken Baby Syndrome

Timang tinggi-tinggi,
Sampai cucur atap,
Belum tumbuh tinggi,
Pandai baca kitab...


Haa, apa yang tak kena dengan rangkap di atas?
Timang tinggi-tinggi....itu memang sangat kerap orang Melayu lakukan. Anak kecil dilambung-lambung sambil diagah-agah.

Tahukah anda, perbuatan itu boleh menyebabkan SBS (Shaken Baby Syndrome)?

Definisi: Kecederaan atau kematian yang disebabkan oleh goncangan, lambungan atau tolakan yang kuat, yang menyebabkan kecederaan serius di otak.

Siapa yang berisiko mengalami SBS: Bayi dan kanak-kanak di bawah 3 tahun.

Perbuatan yang boleh menyebabkan SBS: 
  • Melambung-lambung bayi ke udara
  • Menggoncang bayi di dalam buaian dengan kuat
  • Mendodoi bayi dengan kasar
  • Berjoging atau berlari sambil mendukung bayi/anak
Akibat SBS:
  • Pendarahan dalam otak
  • Kecederaan tulang belakang
  • Sawan
  • Otot kaku
  • Buta/kecederaan mata
Mengapa SBS boleh terjadi?

Bayi dan kanak-kanak di bawah 2 tahun mempunyai otot di leher yang lembut dan tidak tegap. Goncangan dan gegaran yang kuat memberi kesan terutamanya kepada salur darah di otak.

Pencegahan SBS:
  • JANGAN menggoncang bayi/kanak-kanak kecil.
  • Elakkan memegang bayi semasa anda sedang bergaduh/bertengkar dengan pasangan.
  • Elakkan mendodoi bayi dalam keadaan marah.
  • Pegang bayi sambil menyokong bahagian leher, terutama sekali jika anda menggunakan 'baby carrier'.

Kepada ibubapa yang baru sahaja mendapat anak, beringatlah. Pastikan anda, ahli keluarga dan rakan-rakan memegang bayi dengan cara yang betul.

0 comments:

Post a Comment