Friday 9 July 2010

Adab Di Dalam Majlis

Ummu Alfateh sangat berharap agar anak-anak kecil di Kaherah dididik lebih tegas supaya beradab di dalam majlis. Ini kerana menurut pemerhatian Ummu Alfateh, majlis-majlis keramaian di rumah-rumah negeri seakan menjadi 'padang permainan' buat mereka.

Tidak dinafikan bahawa waktu majlis itu adalah kesempatan untuk si anak berjumpa rakan sebaya, tetapi sewajarnya para ibubapa menitikberatkan adab dan tatatertib anak-anak supaya tidak mengganggu tetamu-tetamu yang lain.

Kita mungkin melihat tetamu lain tersenyum, tetapi dalam masa yang sama mereka (dan juga AJK majlis) mungkin risau anak-anak kecil tadi menumpahkan makanan/minuman, mengganggu peralatan (mikrofon. hiasan dan lain-lain) serta membuat bising yang melampau.

Bukankah sangat tidak sesuai apabila anak-anak kecil itu berlari-lari sambil menjerit-jerit di dalam sebuah majlis perkahwinan? Cuba bayangkan suasana kita jika berada dalam majlis di Malaysia. Jelingan ibubapa sudah cukup membuat si anak duduk tertib di tempatnya. Atau jika hendak bermain, pilih satu 'spot' yang tidak menghalang dan mengganggu tetamu. Sepatutnya begitu jugalah peranan ibubapa di sini. Elakkan anak-anak hilang dari penglihatanan sehingga kita tidak tahu/tidak kisah dengan tingkahlaku mereka.

Ummu Alfateh mohon maaf jika teguran ini mengguris rasa sesetengah pihak, tetapi lebih elok rasanya anak kita membesar dengan adab sebagai Melayu Muslim, walaupun berada jauh di perantauan.