Tuesday 14 December 2010

Vaksin kanak-kanak

S: “Saya telah difahamkan bahawa sesetengah vaksin seperti vaksin untuk polio boleh menyebabkan penyakit tersebut dan bukan mencegahnya. Bagaimanakah boleh saya mengetahui jika anak saya berisiko untuk mendapat penyakit tersebut? Adakah lebih selamat jika anak saya langsung tidak mendapat sebarang vaksin?”
 
    Hampir semua kanak-kanak di negara ini telah menerima vaksinasi terhadap beberapa penyakit yang berbahaya. Dahulu, sebelum terdapatnya vaksin, beribu-ribu kanak-kanak telah menjadi lumpuh setiap tahun akibat polio.
    Rubella pula menjadi punca kecacatan kelahiran pada bayi baru lahir dan akhirnya menyebabkan kecacatan mental pada kanak-kanak tersebut.
    Di samping itu, dahulu difteria merupakan punca utama kematian kanak-kanak sekolah. Sebelum pengenalan imunisasi Haemophilus influenzae B (Hib) pada tahun 2002, kuman Hib merupakan punca utama penyakit meningitis (jangkitan pada selaput otak) yang telah menyebabkan ramai kanak-kanak mengalami kecederaan otak yang kekal.
    Batuk kokol yang juga dikenali sebagai ‘penyakit batuk 100 hari’ pula telah membunuh ramai kanak-kanak, paling banyak sekali yang berumur di bawah 1 tahun.
    Sememangnya, kanak-kanak telah mendapat lebih banyak kebaikan daripada vaksinasi berbanding dengan program pencegahan penyakit lain yang terdapat dalam sejarah perubatan.
    Kini, oleh sebab vaksinasi begitu berkesan dan sudah hampir membasmi kebanyakan penyakit yang serius, ada sebilangan ibubapa yang mula bertanya dan memikir semula jika ia benar-benar bermanfaat.
    Adakah vaksin masih diperlukan? Adakah kebaikannya masih melebihi segala risiko yang dibawanya? Jawapan kepada kedua-dua soalan ini ialah YA.
    Sebenarnya, penyakit yang berpunca dari virus serta bakteria dan boleh dicegah dengan vaksin masih lagi menjangkiti ramai kanak-kanak di negara kita atau dengan mudah boleh menjadi suatu wabak yang merbahaya.
    Kita tidak boleh duduk diam serta berpuas hati dengan kejayaan menangani penyakit-penyakit merbahaya ini; sebaliknya, kita perlu sentiasa berwaspada.
    George Santayana telah menulis pada tahun 1905: “Mereka yang tidak ingat akan kesilapan masa silam akan bakal mengulanginya semula” (“Those who cannot remember the past are condemned to repeat it).
    Sebenarnya, kita mengambil risiko dalam apa jua yang dilakukan, termasuklah aktiviti-aktiviti yang lazim. Contohnya, kita memakan sarapan pagi walaupun setiap tahun, kira-kira 200 orang mati kerana makanan tersekat dalam trakea (tenggorok).
    Kita masih lagi melakukannya kerana kebaikannya mengatasi akibat buruknya. Oleh itu, persoalan yang sebenarnya perlu ditanya mengenai vaksin ialah, “Adakah kebaikan vaksin dapat mengatasi segala risiko kesan sampingannya?”
    Cara yang terbaik untuk menjelaskannya ialah dengan menggunakan contoh vaksin yang mempunyai paling banyak kesan sampingan, iaitu vaksin pertusis atau batuk kokol.
    Vaksin pertusis yang lama kerap dikaitkan dengan kesan sampingan. Ini telah mengakibatkan sesetengah ibu bapa enggan memberikan vaksin tersebut kepada anak mereka.
    Oleh kerana publisiti negatif tentang vaksin ini, negara Jepun telah berhenti menggunakannya pada tahun 1975. Berikutan dengan ini, terdapat 13,000 kes batuk kokol serta 113 kematian. Sebelum tahun 1975, hanya terdapat 400 kes dan tiada seorang pun kanak-kanak yang mati akibat vaksin pertusis!
    Ini jelas telah membuktikan bahawa kebaikan menerima vaksin sememangnya dapat mengatasi segala kesan sampingannya. Kini, ibu bapa tidak perlu runsing memikirkan vaksin yang perlu diberikan kepada anak-anak mereka. Ini kerana vaksin pertusis yang baru kurang mempunyai kesan sampingan dan ianya boleh diberikan kepada semua kanak-kanak.
    Mengenai polio pula, terdapat dua jenis vaksin. Yang pertama adalah vaksin poliovirus dimana virusnya hidup tetapi lemah. Ia biasanya dititiskan ke dalam mulut kanak-kanak (vaksin polio oral atau OPV).
Jenis yang kedua pula ialah vaksin poliovirus yang telah mati dan jenis ini biasanya diberikan dalam bentuk suntikan (vaksin polio tidak aktif atau IPV). Imunisasi lazim secara ‘OPV’ telah dilakukan di Malaysia sejak tahun 1972. Program ini amat berkesan dan kini tiada sebarang kes polio di Malaysia sejak kes yang terakhir, pada tahun 1985.
    OPV telah dipilih untuk digunakan kerana ia amat berkesan, senang diberi, murah dan menyebabkan imuniti seumur hidup. Walaupun demikian, OPV dikaitkan dengan satu kesan sampingan yang amat jarang berlaku tetapi berbahaya.
    Lebih kurang 1 dalam sejuta kanak-kanak yang diberikan dos pertama mungkin mendapat penyakit tersebut. Ini bermakna kanak-kanak tersebut akan menjadi lumpuh akibat polio. Ini dikenali sebagai Kelumpuhan Poliomielitis Akibat Vaksin (Vaccine Associated Paralytic Poliomyelitis (VAPP)).
    IPV memberikan manfaat yang sama dengan OPV, iaitu keberkesanan serta imunisasi seumur hidup. Tambahan pula, IPV adalah lebih selamat kerana ia tidak menyebabkan VAPP.
    Oleh kerana kemajuan dalam teknologi serta cara pengeluaran vaksin, IPV kini boleh diberikan dalam suntikan yang sama dengan vaksin-vaksin lain yang lazim diberikan. Kini satu kombinasi vaksin gabungan IPV dengan vaksin difteria, pertusis, tetanus dan Hib (vaksin 5-dalam-1) dapat diberikan dalam satu suntikan sahaja.



S: ”Saya pernah terdengar bahawa sesetengah vaksin, misalnya vaksin gabungan untuk demam campak/beguk/rubella (measles-mumps-rubella atau MMR) boleh menyebabkan kecederaan otak atau autisme. Bagaimana boleh saya memastikan jika doktor memberi vaksin yang selamat kepada anak-anak saya?”

    Sehingga kini, tiada satu pun bukti kukuh yang dapat mengaitkan vaksin kanak-kanak dengan penyakit autisme, kecederaan otak ataupun gangguan perilaku.
    Kaitan antara vaksin MMR dengan autisme mula diramal pada tahun 1998 apabila Dr. Wakefield berserta rakan sekerja beliau telah menerbitkan satu kertas kerja dalam jurnal perubatan Lancet. Menurut fakta yang mereka dapati dari hanya 12 orang pesakit, mereka telah membuat hipotesis bahawa MMR merupakan punca kepada masalah usus yang menyebabkan kekurangan penyerapan vitamin serta khasiat-khasiat penting dan seterusnya telah menyebabkan autisme.
    Pada hakikatnya, terdapat banyak kesilapan dalam kajian Wakefield. Antaranya ialah fakta klinikal beliau sendiri tidak menyokong dakwaan beliau mengenai autisme. Sekurang-kurangnya 4 orang pesakit mempunyai masalah perilaku atau autisme sebelum mendapat simptom-simptom penyakit radang usus.
Sepuluh daripada 12 penulis asal kertas kerja yang penuh kontroversi tersebut telah menarik balik dakwaan mereka. Pengarang jurnal Lancet pula telah mengeluarkan kenyataan untuk meminta maaf kerana telah menerbitkan kertas kerja tersebut. Dr Wakefield kini sedang disiasat oleh Majlis Perubatan Am UK (UK General Medical Council) atas hal amalan perubatan yang tidak beretika.
    Malangnya, banyak kesan buruk telah timbul daripada penulisan yang tidak berfakta dan bertanggung jawab ini. Ia telah menyebabkan ramai ibu bapa menentang pemberian vaksinasi MMR kepada anak-anak mereka.
    Kebanyakan daripada orang awam, termasuk ibubapa, tidak lagi ingat akan wabak campak (measles) yang telah membunuh ramai kanak-kanak; bayi yang dilahirkan cacat akibat daripada rubella serta kanak-kanak yang menjadi cacat pendengaran setelah menghidap benguk. Kita sebenarnya telah menjadi mangsa kepada kejayaan vaksin-vaksin kita.
    Pada tahun 1990, seramai 45 juta kanak-kanak telah menghidap campak (measles) dan penyakit ini telah menyebabkan 1 juta kematian. Sebelum adanya vaksin MMR, benguk merupakan sebab utama jangkitan virus diselaput otak (meningitis) dan cacat pendengaran pada kanak-kanak.
    Sebelum vaksin Rubella diperkenalkan di Amerika Syarikat, setiap tahun seramai 20,000 kanak-kanak telah dilahirkan dengan Sindrom Kongenital Rubella yang menyebabkan kecacatan jantung, cacat pendengaran dan kecacatan mental pada bayi yang baru dilahirkan.
    Kini terdapat banyak fakta-fakta sains yang menunjukkan bahawa tiada kaitan antara MMR (atau sebarang vaksin yang lain) dengan autisme. Malah, penyelidikan terbaru dari Denmark yang melibatkan kajian di atas 500,000 orang kanak-kanak telah berjaya membuktikan bahawa sememangnya tiada sebarang hubungan antara vaksin ‘MMR’ dengan autisme.
    Satu lagi masalah yang terdapat pada hipotesis bahawa MMR berkaitan dengan autisme ialah bahawa sebenarnya, campak dalam bentuk semulajadi tidak pernah dikaitkan dengan autisme. Oleh itu, memanglah menghairankan jika vaksin yang merupakan bentuk virus campak yang telah dijadikan lemah dikatakan boleh menyebabkan autisme.
    Satu lagi kesilapan yang ditemui dalam hipotesis tersebut ialah vaksin campak yang lemah ini telah dikatakan boleh menyebabkan penyakit yang berisiko tinggi seperti autisme berbanding dengan campak dari jenis liar yang lebih virulen.
    Vaksin untuk MMR sudah digunakan lebih daripada 30 tahun dan ia mempunyai kesan yang amat baik pada kesihatan kanak-kanak. Amerika Syarikat dan Finland yang mengamalkan 2 dos suntikan MMR kini telah bebas dari penyakit demam campak. Demam campak merupakan penyakit yang mengancam nyawa kanak-kanak yang bakal dapat dibasmikan berikutan pembasmian penyakit cacar dan polio. Vaksin MMR mempunyai profil keselamatan yang sangat baik. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengumumkan bahawa ”MMR merupakan vaksin yang sangat berkesan serta mempunyai rekod keselamatan yang amat membanggakan” setelah digunakan selama 30 tahun serta lebih daripada 500 juta dos yang telah diberikan.
    Malaysia telah mula memberikan vaksinasi untuk demam campak pada tahun 1982 dan budak-budak perempuan yang bersekolah pula diberi suntikan vaksin rubella sejak tahun 1986. Pada tahun 2002, polisi imunisasi ini telah dipertingkatkan lagi dengan pengenalan vaksin MMR. Ini merupakan strategi yang paling berkesan untuk melindungi anak-anak kita daripada 3 penyakit merbahaya ini.
    Ibubapa dinasihatkan agar memastikan anak-anak mereka mendapat 2 dos vaksin MMR yang lazimnya diberikan pada usia 1 dan 6 tahun. Saya juga berharap ibu bapa tidak akan percaya serta terikut-ikut dengan apa yang diperkatakan di ruang siber oleh mereka yang membantah penggunaan vaksin.

Note : Dr Andrew Wakefield telah dibatalkan dari senarai doctor berdaftar di London.



Sumber : Persatuan Pediatrik Malaysia.


Thursday 2 December 2010

Snek Musim Sejuk

Santan sangat penting dalam masakan Melayu, khususnya untuk lauk-pauk yang dimakan bersama nasi. Begitu juga kuih-muih. Ditambah pula dengan kandungan gula yang tinggi di dalam kuih. Sewajarnya ibubapa mengurangkan kedua-dua bahan ini di dalam menu harian. Kanak-kanak memang perlu kerap makan kerana mereka aktif dan dalam proses pembesaran fizikal. Namun masih ada banyak menu lain yang lebih sihat dan sesuai untuk dihidangkan kepada mereka.

Oleh kerana musim sejuk sinonim dengan buah pisang  dan strawberi, berikut beberapa senarai resepi mudah untuk santapan kanak-kanak sebagai snek in between meals :

1) Lepat pisang:
- Lenyek pisang, tambah tepung, sedikit gula dan secubit garam, (sama seperti membuat cekodok) tapi lebih baik kerana ia dikukus, bukan digoreng.

2)Pancake:
-Beli tepung pancake di kedai dan bancuh ikut arahan di belakang bungkusan tepung itu. Tak mahal pun, sekitar le5 sebungkus.
-Hidang bersama madu dan hirisan buah-buahan (pisang/strawberi/epal). Sangat sesuai untuk sarapan.

3)Lempeng pisang:
-Sama seperti menyediakan cekodok, cuma dimasak rata di dalam kuali dengan sedikit minyak sahaja.

4)Banana split:


Yummy!

5)Kek pisang.

6)Strawberi bersalut coklat. -Rasa coklat mengurangkan masam strawberi (kerana ada kanak-kanak tidak gemar makan strawberi begitu sahaja kerana agak masam).


Selamat menjamu selera!

Monday 22 November 2010

Baju luntur warna

Pakaian bayi dan kanak-kanak yang terkena luntur warna daripada baju lain tentu membuatkan ibu mengeluh. Apatahlagi jika baju itu masih cantik dan boleh dipakai. Lunturan warna menjejaskan kecantikan baju bayi. Tetapi masih ada cara mudah untuk dipraktikkan. Petua ini Ummu Alfateh dapat dari Internet, dah cuba dan alhamdulillah menjadi

Petuanya ialah: baju yang terkena lunturan itu direndam dengan air yang dicampur sabun basuh baju dan cuka. Selepas setengah jam bolehlah dibilas. (Ummu Alfateh rendam semalaman, sebab tertidur dan lupa pasal baju tu, hehe).

Petua ni pun boleh dipakai untuk baju mak-mak dan ayah-ayah juga! ^__^

Monday 8 November 2010

Tersedak susu

Ibubapa sering diingatkan supaya membuat anak sendawa selepas menyusu. Ini adalah untuk mengelakkan bayi tersedak susu. Ianya boleh menyebabkan kematian. Bacalah artikel di bawah untuk maklumat lebih lanjut.

Sumber asal: Kosmo

   PENGHUJUNG September lalu, Suryanti Mamat, 27, menghabiskan waktu hujung minggu dengan berehat bersama keluarganya di rumah. Sambil melayan kerenah anak pertamanya, Muhammad Afi Naim Mohd. Azuar, 15 bulan, yang semakin aktif, dia sempat meneliti berita daripada akhbar Kosmo!.
   Sebuah laporan di muka surat tiga bertajuk: ‘Bayi tiga bulan mati tercekik susu’ menarik perhatiannya. Kisahnya adalah mengenai kematian bayi kepada pasangan Mohd. Fairuz Mohamad Stap, 31, dan Haney Usmiza Abdul Hamid, 30, akibat tersedak susu ketika berada di bawah jagaan pusat asuhan kanak-kanak.
Sambil memandang Muhammad Afi Naim yang leka bermain, jantungnya mula berdebar kencang. Dia terimbas kisah lalu apabula anak sulungnya itu pernah mengalami situasi sama. Namun, dia bernasib baik kerana sempat bertindak dan mengawal situasi itu sebelum menjadi lebih teruk.
   Ketika kejadian itu, Suryanti pada mulanya mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena kerana anaknya itu tidak sendawa seperti biasa selepas meminum susu. Selepas beberapa minit, susu yang diminum anaknya itu tersembur dan keluar dari hidung Muhammad Afi Naim. Oleh kerana terlalu panik, Suryanti cuba melakukan bantuan rawatan kecemasan walaupun tidak mengetahui teknik yang betul.
   “Setelah beberapa kali menepuk belakang Muhammad Afi, dia masih tidak menunjukkan tanda-tanda mahu bernafas. Saya terus menelangkupkan badannya dengan menghalakan kepalanya ke bawah. Selepas beberapa kali menepuk belakang badan anak saya itu, akhirnya dia kembali bernafas.
   “Saya tidak pasti sama ada cara yang saya lakukan itu betul kerana saya tidak pernah mempelajari teknik membantu kanak-kanak tercekik susu,” kata pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa (IIC) itu ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Maut dalam masa lima minit
   ituasi bayi tercekik pastinya bukan hanya dilalui oleh pasangan Suryanti dan Mohd. Azuar Shamsuddin, 27, sahaja, bahkan ia menjadi isu penting yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa kerana ia bukan kes normal dan lebih teruk, boleh meragut nyawa.
   Pakar Pediatrik dari Pusat Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Zurina Zainudin berkongsi pandangannya mengenai masalah tercekik susu yang berlaku kepada bayi yang berusia di bawah umur setahun itu.
   Ia berlaku apabila terdapat cecair yang masuk ke dalam saluran pernafasan dan seteguk susu mampu menyebabkan kematian bayi.
   Beliau menambah, untuk menolak kembali susu yang masuk ke saluran itu, tindak balas cough reflex (refleks batuk) perlu berlaku dalam sistem itu. Namun, sel-sel pada saluran pernafasan bayi masih tidak matang dan tidak kuat untuk menolaknya dan itu yang menyebabkan bahaya.
   “Apabila air memasuki saluran pernafasan, ia menutup laluan oksigen ke otak. Sekiranya oksigen tidak sampai ke otak dalam tempoh lima minit, ia boleh mengundang kem
atian,” terang Zurina.

Bagaimanakah caranya untuk mengelakkan perkara itu?
Dr. Zurina yang berpengalaman dalam bidang pediatrik selama 11 tahun itu menjelaskan, ibu bapa harus peka dengan kaedah penjagaan bayi bagi mengelakkan masalah itu daripada berlaku.

   Ibu bapa mahupun penjaga seharusnya tidak membiarkan bayi menyusu secara bersendirian. Keadaan lebih bahaya jika bayi tersebut tertidur dan botol susu masih dibiarkan melekap di mulut bayi.
   “Ini yang sering berlaku di pusat penjagaan kanak-kanak. Bila terlalu ramai yang harus dijaga, bayi akan dibiarkan bersendirian ketika menyusu,” katanya.
   Beliau menasihatkan ibu bapa agar memilih puting botol susu yang mempunyai lubang yang sempit bagi mengelakkan susu mengalir laju tanpa kawalan. Selain itu, beliau mengingatkan ibu bapa supaya meninggikan kepala bayi ketika menyusu dan memegang botol susu ketika memberi susu kepada bayi.
   “Jangan sendal botol susu dengan bantal sebaiknya ibu bapa pegang botol susu pada kedudukan antara 45 hingga 60 darjah,” katanya.
   Dr. Zurina turut menyeru ibu bapa dan pengusaha taman asuhan kanak-kanak (Taska) agar mengambil inisiatif mempelajari teknik bantuan cemas dan rawatan resusitasi kardiopulmonari (CPR).

Biru tanda tidak bernafas
   Pendapat sama turut disuarakan oleh jurulatih Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Wilayah Persekutuan, Muhammad Zulkarnain Rusli, 31.
   Beliau menjelaskan bahawa situasi bahaya itu perlu ditangani segera melalui rawatan CPR kerana dalam tempoh beberapa minit sahaja masalah tersedak boleh meragut nyawa bayi.
   Katanya, situasi itu boleh menyebabkan kematian sementara iaitu kematian klinikal. Kematian klinikal diterjemahkan sebagai nafas yang terhenti dalam suatu tempoh dan berpeluang untuk kembali normal. Bantuan pantas perlu diberikan kerana komplikasi teruk pada otak boleh berlaku dalam masa selepas empat minit.
   Tanda-tanda yang menunjukkan seseorang bayi itu tercekik susu boleh dilihat melalui keadaan tubuhnya yang lembik, tidak bernafas, bibir kebiruan dan tiada respons.
   “Bila berhadapan situasi itu, tiada apa yang perlu dilakukan oleh penjaga melainkan rawatan awal iaitu CPR,” katanya.

Sunday 7 November 2010

Demam

Kalau kat Malaysia, ada Cool Fever. Di Mesir, ada KODOMO. Harganya LE15 sekotak.

 

Ada dua keping pelekat ber'gel' dalam setiap kotak.



Letak kat dahi...


Mudah je (^_^)  Tukar setiap lapan jam. Walaupun gel ni berkesan untuk kurangkan panas demam anak, tapi rajin-rajin juga laa tuam bahagian badan yang lain. Cuma gel ni memudahkan anak-anak berehat (contoh waktu malam, tak tuam badan pun takpe,  jadi tidur anak tak terganggu).

p/s: Pastikan anda beritahu umur anak pada doktor di farmasi, kerana kotak untuk kanak-kanak bawah 2 tahun adalah lain sedikit daripada untuk kanak-kanak 2 tahun ke atas dan untuk orang dewasa (ya, orang dewasa pun ada!)

Sunday 17 October 2010

Menyimpan susu yang dipam

 
Kadangkala ibu terpaksa berpisah dengan anak untuk jangka masa yang lama, sedangkan si anak masih lagi menyusu. Tahukah anda bahawa itu bukan alasan untuk bergantung dengan susu tin? Susu ibu boleh disimpan sehingga ENAM bulan. Jadi tentunya si anak masih tetap mendapat manfaat susu ibu walaupun berjauhan.
Berikut adalah panduan bagi mengetahui tempoh simpanan bagi susu ibu yang diperah:
 
 Tempat simpanan
Suhu (celcius)

Tempoh bertahan
Suhu bilik
15
24 jam
Suhu bilik
19-22
10 jam
Suhu bilik
25
4-6 jam
Peti  sejuk
0-4
8 hari
Peti sejuk (bahagian beku)

2 minggu
Peti sejuk beku (deep freeze)
-19
6 bulan


Friday 15 October 2010

Long time no see!

Yaa ampunnnn, sangat lama blog ini ditinggalkan T______________T

Alasan cliche - busy. Haha, yelah, sedang belajar menyesuaikan diri dengan hidup sebagai ibu kepada dua orang anak. Rasa macam 24jam tu tak cukup. Bila seorang tidur, seorang lagi berjaga. Bila seorang senyap, yang seorang pula bising. Bila dua-dua tidur, dilema juga....nak buat kerja rumah ke, nak rehat dulu?

Post kali ni, sekadar nak kongsi gambar 'breast pump'. Susu badan boleh dipam dan disimpan, jadi tak perlu bergantung pada susu tin. Bagi ibu yang berstatus pelajar (di Mesir ni ramai juga, kan?) amat digalakkan membeli 'breast pump' begini supaya bayi tetap meminum susu ibu walaupun si ibu ke kuliah.






 Dua gambar di atas ialah contoh pam menggunakan bateri (juga dipanggil 'electric breast pump'),


 Yang ini pula ialah pam manual.


Harga pam manual lebih murah daripada yang menggunakan bateri. Pam manual sekitar le150, manakala pam eletrik antara le300-le500.

Walaupun agak mahal, tetapi ianya berbaloi kerana boleh digunakan untuk jangka masa panjang. Bukan hanya untuk seorang anak, tetapi anak-anak seterusnya juga boleh mendapat manfaat.

Friday 9 July 2010

Adab Di Dalam Majlis

Ummu Alfateh sangat berharap agar anak-anak kecil di Kaherah dididik lebih tegas supaya beradab di dalam majlis. Ini kerana menurut pemerhatian Ummu Alfateh, majlis-majlis keramaian di rumah-rumah negeri seakan menjadi 'padang permainan' buat mereka.

Tidak dinafikan bahawa waktu majlis itu adalah kesempatan untuk si anak berjumpa rakan sebaya, tetapi sewajarnya para ibubapa menitikberatkan adab dan tatatertib anak-anak supaya tidak mengganggu tetamu-tetamu yang lain.

Kita mungkin melihat tetamu lain tersenyum, tetapi dalam masa yang sama mereka (dan juga AJK majlis) mungkin risau anak-anak kecil tadi menumpahkan makanan/minuman, mengganggu peralatan (mikrofon. hiasan dan lain-lain) serta membuat bising yang melampau.

Bukankah sangat tidak sesuai apabila anak-anak kecil itu berlari-lari sambil menjerit-jerit di dalam sebuah majlis perkahwinan? Cuba bayangkan suasana kita jika berada dalam majlis di Malaysia. Jelingan ibubapa sudah cukup membuat si anak duduk tertib di tempatnya. Atau jika hendak bermain, pilih satu 'spot' yang tidak menghalang dan mengganggu tetamu. Sepatutnya begitu jugalah peranan ibubapa di sini. Elakkan anak-anak hilang dari penglihatanan sehingga kita tidak tahu/tidak kisah dengan tingkahlaku mereka.

Ummu Alfateh mohon maaf jika teguran ini mengguris rasa sesetengah pihak, tetapi lebih elok rasanya anak kita membesar dengan adab sebagai Melayu Muslim, walaupun berada jauh di perantauan.

Friday 11 June 2010

Mahal atau murah?

Memilih barangan kanak-kanak adalah berasaskan kemampuan ibubapa. Jika mampu, pastilah yang berkualiti menjadi pilihan walaupun harganya agak mahal. Jika tidak mampu, pastilah harga murah didahulukan. Cuma sekadar ingin berkongsi, Ummu Alfateh pernah melihat satu program temubual dengan Pengurus Pemasaran pakaian kanak-kanak (di Malaysia) dalam program TV3. Antara kata pengurus tersebut (secara point je lah ya..):

  1. Bukan mudah untuk menghasilkan pakaian kanak-kanak dan bayi. Mereka biasanya mengambil berat faktor material dan reka bentuk.
  2. Design yang menarik penting kerana kanak-kanak (dan ibubapa, of course) suka yang ceria dan berwarna-warni.
  3. Material juga penting terutama untuk pemakaian di luar rumah. Iklim panas memerlukan material yang menyerap peluh, iklim sejuk memerlukan pakaian tebal tetapi tidak terlalu berat sehingga membataskan pergerakan kanak-kanak.
  4. Syarikat yang berjenama membuat kajian berkaitan perkara di atas, bermula dari pemilihan kain, struktur dan corak, kemudian menitikberatkan proses jahitan, kemasan, bungkusan dan lain-lain.
 Oleh sebab itu harga pakaian berjenama untuk kanak-kanak agak mahal. Tentu sahaja tidak sama dengan pakaian dari China yang sedang berlambak-lambak ada di Mesir.

Ala kulli hal, semuanya bergantung kepada ibubapa. Yang penting, keselesaaan anak hendaklah didahulukan.


Saja suka-suka:  
Beberapa jenama yang boleh dipercayai - GAP. Gymboree, Laura Ashley, Kiki Lala, Anakku, Disney, Ladybird, MIKI.

Wednesday 9 June 2010

Please and Thank You

Atau di dalam Bahasa Melayu: Tolong dan Terima Kasih.

Kedua-dua istilah ini penting sebagai titik tanda beradab dan bersopan-santun. Tetapi bila dan bagaimana ibubapa boleh mengajarkannya?

Cara yang paling berkesan: Amalkannya di hadapan anak-anak.

Contoh mudah, si ibu berkata kepada ayah: Tolong ambilkan cawan ya. Selepas ayah memberikan cawan, ibu menjawab: Terima kasih.

Jika ini menjadi kebiasaan, si anak terkesan dengan tanggapan 'Tolong' dan 'Terima kasih' adalah satu perkara yang mudah tetapi bernilai.

Tetapi perkara ini tidak dapat diajar dalam masa sehari, seminggu atau sebulan sahaja. Boleh jadi ia ambil masa berbulan-bulan. Jadi ibubapa hendaklah sabar dan terus berulang-ulang menyebut dan mempraktikkan penggunaan istilah-istilah begini.

Antara beberapa cara yang dikongsi dalam forum keibubapaan:

  1. Apabila si anak hendakkan sesuatu (contohnya biskut), si ibu ambilkan sebutkan dahulu 'Tolong berikan saya biskut', kemudian baru hulurkan biskut tersebut kepada anaknya. Sebelum melepaskan biskut tersebut, si ibu ucapkan, 'Terima kasih,ibu' dan minta anak ikut menyebutnya. Setelah itu barulah si anak boleh memakan biskut tadi.
  2. Jika si anak meminta dengan cara kasar, si ibu tidak mengendahkan permintaan itu. Hanya selepas menggunakan perkataan 'Tolong/Bolehkah saya...' barulah permintaanya dilayan.
  3. Atau cara lain, jika si anak meminta dengan cara kasar, si ibu (atau bapa) memandangnya sambil bertanya, 'Adakah itu cara yang betul?'. Kemudian biarkan anak berfikir.
  4. Elakkan memarahi atau menunjukkan reaksi negatif apabila anak tidak menggunakan tatatertib sepenuhnya, kerana pada usia awal mereka masih dalam proses belajar. Sebaliknya, berikan pujian dan galakan apabila mereka berjaya menunjukkan adab dan akhlak mulia yang dikehendaki ibubapa.
  5. Interaksi dengan orang bukan ahli keluarga perlu dititikberatkan. Jika si anak bersikap kasar terhadap mereka, ibubapa mestilah tegas memberitahu kesilapan si anak. Jangan kalah dengan tangisan atau amukan anak-anak walaupun di hadapan orang lain, supaya si anak berpendapat tangisan dan amukan di hadapan orang lain adalah cara membolehkannya mengawal ibubapa.

Tuesday 25 May 2010

Educational online games

Sesuai untuk kanak-kanak 3 tahun ke bawah.


http://www.fisher-price.com/us/fun/games

http://www.kneebouncers.com/

 http://boowakwala.uptoten.com/kids/

Bermain online game tidak bermakna kanak-kanak boleh ditinggalkan sendirian. Mereka masih memerlukan bantuan ibubapa untuk menekan mouse pada waktu-waktu tertentu, selain daripada interaksi secara langsung daripada ibubapa sendiri. Selamat bermain!

Sunday 23 May 2010

Istilah pakaian bayi

Pernah cuba online shopping? Seronok juga survey barang-barang bayi di blog-blog orang (ramai ibu Malaysia yang buat bisnes online dengan menjual barangan/pakaian bayi, samada yang baru atau yang terpakai).

Jom kita tengok istilah-istilah yang sering digunakan:

Preloved - terpakai/pernah digunakan
Clearance - penghabisan (nak habiskan stok)
New Arrival - baru sampai

Jumper/Romper - Baju yang ada butang di bawah dan biasanya dipakai paling awal sekali.







Dress -


Pants - Seluar




Socks - stokin (biasanya sampai atas buku lali)


Legging-



Clothe diaper - Lampin kain

Friday 21 May 2010

Kasut dari China

Assalamualaikum wrt wbt...


*sedihnya lama tak post apa-apa di sini....alasan cliche -sibuk - Ya ampunnn...orang lain lagi busy kan? Hehe*

Sekadar untuk perhatian bersama, buat ibubapa di sini....seperti yang Abu Handzolah (ke Ummu Handzolah?? Terkeliru pulak) telah ceritakan di blog mereka, kasut kanak-kanak yang diimport dari China sekarang kebanyakannya dibuat daripada kulit babi. Jadi, sama-samalah kita berhati-hati semasa membeli barangan kulit dari negara tersebut.

Bukan setakat di Tauhid Wan Nur sahaja, di Genina Mall (dan mungkin mall yang lain juga) pun ada. Minggu lepas Alfateh sekeluarga ber'window shopping' dengan harapan hendak membeli sepasang dua kasut, untuk Alfateh lah. Agak terkejut kerana walaupun brand nya bernama Abou Khalla (kalau tak silap la), tetapi nampak juga lah titik tiga bertompok-tompok tanda itu kulit babi. Mungkin Abou Khalla itu nama syarikat pengimport sahaja, kasut tu pula dibuat di China (kesimpulan ni logik la kan).

Di tepi jalan Abbas Aqad pun sama ya, kalau diteliti kasut-kasut yang dijual oleh penjual tak berkedai tu, tengok kotak kasut 'Made in China', kami pun periksalah. Confirm juga ia kulit babi.

Dalam hal pemilihan kasut, ibubapa silalah ambil berat tentang keselesaan untuk kegunaan anak-anak. Yang penting, pastikan tapak kasut tidak licin dan tahan untuk digunakan secara lasak, tapak tidak nipis, di bahagian sekeliling tumit dan buku lali seelok-eloknya berspan. Bukan nak 'condemn' kasut buatan Mesir, tetapi setakat ni kasut murah-murah yang mereka hasilkan boleh menyebabkan kaki anak melecet, lebih-lebih lagi jika tidak memakai stokin.


Tapi kalau nak beli yang berjenama, di sini mahalllll..... T________T

Adalah sekitar LE140 ke atas sepasang. Contoh kasut-kasut berjenama tersebut ada di City Star atau di kedai-kedai menjual barang kanak-kanak di Abbas Aqad. Di Genina Mall, Sarag Mall dan City Center tak ada sangat.

Alternatif lain, kirimlah dengan orang yang datang dari Malaysia. Kasut Kiki Lala ke, Anakku ke...murah dan berkualiti. (Ohhh, rindunya nak bershopping di Malaysia!)

Ehem, setakat ni je dahulu. Sekian terima kasih ^__^

Monday 3 May 2010

Mesir yang berpasir

Tak sahlah kalau tinggal di Mesir ni tanpa menghadapi pasir dalam kehidupan seharian. Ya lah, dah asal negara ni negara padang pasir juga, kan?

Kadang-kadang kasihan melihat anak, sering dilarang daripada bermain dengan pasir. Err, adakah kerana saya asal orang bandar, membesar dengan tidak bermain kotor? :D  Tetapi faktor lain yang lebih utama adalah kerana sejarah keluarga yang ada allergi, terutama dengan debu dan makanan tertentu. Jadi terpaksalah mengawasi tempat dan waktu anak bermain.

Jadi untuk tips hari ini, ibubapa di Mesir bolehlah sentiasa merujuk ramalan cuaca yang ada di internet sebelum keluar ke rumah. Lebih-lebih lagi Mesir dalam fatrah perubahan musim. Ada hari yang berangin debu berputar-putar, sangatlah tidak sesuai untuk si anak keluar bermain pada waktu begitu.

Website yang dimaksudkan ialah:

http://weather.msn.com/local.aspx?&wealocations=wc%3aEGXX0004&q=Cairo%2c+EGY&setunit=C

Website ini memaparkan suhu setiap 3 jam, kelajuan angin, kelembapan, cuaca (panas/mendung/hujan dsb). Maka bolehlah pemakaian anak dan aktiviti luarnya dirancang agar sesuai dengan cuaca luar. Oleh itu, manfaatkanlah kemudahan internet di rumah anda!

Saturday 1 May 2010

Bayi pra-matang

Bayi yang dilahirkan sebelum tempoh kehamilan mencapai 37 minggu.

Ciri-ciri bayi pra-matang:
  • Kurus dan kecil, berat kurang 2.5kg
  • Kulit berkedut-kedut (kurang lemak di bawah kulit), kmerahan dan kadangkala salur darah jelas kelihatan.
  • Rambut di kepala sedikit sahaja, hanya sekitar 1cm panjang dan ada rerambut di badan yang di panggil laguno hair.
  • Alat sulit mungkin belum terbentuk sempurna (terutamanya bayi lelaki).
  • Menangis dengan lemah.

Ibu yang berisiko melahirkan bayi pra-matang:
  • Ibu yang merokok, mengambil dadah, stress fizikal.
  • Ibu yang tidak mengambil nutrisi secukupnya semasa mengandung.
  • Masalah hormon tidak stabil.
  • Jangkitan.
  • Berpenyakit kronik.
  • Berumur lebih 35 tahun atau kurang 19 tahun.
  • Rahim yang tidak normal.
  • Kehamilan kembar.

Masalah kesihatan yang mungkin dihadapi bayi pra-matang:
  • Suhu badan tidak dapat dikawal dengan baik kerana kurang lemak dalam badan.
  • Anemia (kurang darah merah).
  • Masalah jantung, paru-paru dan buah pinggang yang tidak berfungsi dengan sempurna.
  • Jaundice (demam kuning).
  • Tekanan darah rendah.
  • Mudah terkena jangkitan kuman.



http://pediatrics.about.com/od/newbornsandbabies/ig/Premature-Babies/Preemie-on-a-Ventilator.htm




http://pediatrics.about.com/od/newbornsandbabies/ig/Premature-Babies/CPAP.htm
www.topnews.in/uploads/premature-baby.jpg



Thursday 29 April 2010

Bayi matang/cukup bulan

Alhamdulillah biasanya bayi-bayi pelajar Malaysia dilahirkan cukup bulan, terlebih hari dan minggu tu biasa lah kan. Apakah tanda-tanda fizikal yang menunjukkan bayi baru lahir itu cukup bulan?

  • Ukurlilit kepala lebih kurang 33cm.
  • Ubun-ubun kepala masih lembut (dan kawasan ubun-ubun itu bersaiz lebih kurang sebesar 3 jari). Ia tertutup seluas satu jari setiap 6 bulan, bermakna pada usia 18 bulan baru kawasan ubun-ubun itu tertutup sepenuhnya.
  • Rambut asal lebih kurang 3cm panjang.
  • Ada 4 soket gigi di rahang bawah.
  • Kulit gebu dan tegang.
  • Kuku jari tangan lebih sedikit daripada hujung jari, manakala kuku jari kaki betul-betul mencecah hujung jari.
  • Tali pusat lebih kurang 50cm panjang.
  • Uri lebih kurang 600gm beratnya.
  • Berat badan bayi lebih kurang 3.5kg.

Wednesday 28 April 2010

Casearan Section

Definisi: Bersalin secara pembedahan.

Akhir-akhir ini kebanyakan kelahiran bayi pelajar Malaysia adalah secara pembedahan. Ini menimbulkan kegusaran di kalangan suami isteri yang sedang menunggu kelahiran cahaya mata mereka.


Sebab-sebab memerlukan kelahiran secara bedah (keadaan ibu dan anak telah diketahui awal sebelum proses kelahiran) :
  • Prolapsed cord (tali pusat ada di bahagian bawah sebelum bayi)
  • Placenta abruptio (uri terpisah sebelum kelahiran)
  • Placenta previa (uri menghadang pintu rahim)
  • Breech (bayi songsang)
  • Cephalopelvic dispotpotion ( kepala bayi besar dan tidak dapat melepasi pelvik)
  • Ibu yang mempunyai jangkitan (HIV, genital herpes), darah tinggi yang teruk, kencing manis atau masalah kesihatan lain ( bergantung kepada penilaian doktor).
  • Kelahiran pra-matang

Keadaan kecemasan yang memerlukan casearan section :
  • Bayi tidak menerima bekalan oksigen yang mencukupi dan kelahiran normal memerlukan masa yang panjang.
  • Kelahiran normal tidak berjalan lancar wakaupun ibu sudah cuba sedaya upaya untuk meneran.
  • Ibu mengalami pendarahan semasa kelahiran.
  • Doktor sudah memberi ubat untuk memulakan kelahiran normal, tetapi 'contraction' masih tidak cukup kuat untuk bersalin normal.

Bius yang diberikan:

Ada dua jenis bius, iaitu general anesthesia (ibu tidak sedar langsung semasa pembedahan) atau regional anesthesia (ibu disuntik ubat bius di belakang badan dan kebas separuh badan ke bawah). Kajian perubatan menunjukkan bius separa badan lebih selamat berbanding bius sepenuhnya.




Untuk soalan-soalan lain yang sering ditanya (seperti betulkah bersalin pembedahan dihadkan tiga kali sahaja, atau sukar bersalin normal jika kelahiran terdahulu secara pembedahan), saya akan dapatkan jawapan pasti daripada senior. Maaf tidak sempat update kerana kekangan masa. Selamat imtihan kepada ibu-ibu dan ayah-ayah di Mesir!

Sunday 11 April 2010

Bahasa Arab

Ada sesiapa yang tahu video berbahasa Arab yang berkualiti tinggi? Setaraf Barney, Sesame Street atau Dora the Explorer?

Mungkin para ustaz di Mesir boleh mulakan usaha ke arah itu. Bua kerjasama dengan orang-orang lepasan bahagian Multimedia. Kerana program-progam berbentuk 'educational' begitu sangat membantu, khususnya untuk para ibu bapa yang bahasa ibunda mereka bukan bahasa Arab.

Setakat mengharap youtube dan video-video biasa, masih tidak setanding seperti menonton rancangan berbahasa Inggeris. Gambar, animasi, kualiti suara, lagu dan banyak lagi faktor yang perlu diambil kira untuk menark perhatian kanak-kanak. Jangan hilang fokus ya, saya maksudkan di sini adalah rancangan berbahasa Arab Fushah 100%, yang boleh menambah perbendaharaan kata bahasa Arab anak-anak kita dan menggunakannya dalam kehidupan harian, bukan sekadar nasyid-nasyid,kisah-kisah nabi atau doa-doa untuk kanak-kanak yang sering dijumpai di dalam youtube.

Kalau sesiapa ada link menarik berkaitan video bahasa arab (yang sesuai untuk kanak-kanak lah ya), kongsilah dengan saya. Terima kasih!

Tuesday 6 April 2010

Sembelit

Ok, ini petua ya...kalau tak menjadi, kena ambil ubat kat doktor juga lah untuk bayi yang sembelit (sorry, tak tak tahu pula doktor akan bagi ubat apa). Macam biasa, petua yang diletakkan ni sesuai untuk dibuat kat Mesir lah. Susah juga kalau bagi petua guna daun kunyit ke, betik ke, mana nak cari pula kan?

  • Campur segelas air masak dengan secamca madu, kemudian beri anak minum.
  • Beri makan buah prune, atau jadikan jus prune.
  • Beri makan pisang. (Tapi ini bergantung pada individu, ada bayi yang jadi berak keras selepas makan pisang, ada yang mudah berak selepas makan pisang).
  • Beri minum jus buah (epal atau oren, sebaik-baiknya buat sendiri).
  • Baringkan bayi dan gerakkan kedua-dua belah kaki dengan gaya mengayuh basikal (untuk bantu proses buang air besar).
  • Urut perut bayi (jangan kasar sangat ya..)
  • Jika bayi minum susu tin dan sembelit, mungkin a) jenama itu tidak sesuai dengan perutnya. Cuba tukar jenama lain. b)kurang minum air masak.
 Macam biasa, tak semua petua ni berkesan, tapi ada juga yang menjadi. Good luck in trying!

Sunday 4 April 2010

Dengar dan lihat

Bismillahirrahmanirrahim....
"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur"

(An-Nahl : 78)


Ayat Al-Quran di atas sangat sesuai dikaitkan tumbesaran kanak-kanak. Ketika mereka kecil, daya ingatan mereka sangatlah kuat, kerana otak berkembang pesat terutamanya tahun pertama selepas kelahiran. Sebab itu orang tua-tua sangat marah jika kita menggunakan bahasa kesat di hadapan kanak-kanak kerana  bimbang mereka akan mengikutnya. Dua tiga kali mendengar dan melihat sesuatu sudah cukup untuk si kecil menjadikannya memori kekal.

Pengalaman saya:

Lebih mudah mengajar hafazan Al-Quran kepada kanak-kanak yang berusia 3 tahun berbanding mengajarnya membaca Al-Quran. Ulang satu dua ayat untuk beberapa kali dan beberapa hari...ajar si kecil ikut menyebutnya. Insya Allah dia akan ingat, walaupun belum tahu membaca mushaf Al-Quran tu sendiri. Kemudian baca ayat baru, ulang ayat lama dengan tambahan yang baru, teruskan mengulang sehingga dia menghafalnya sebelum beralih ke ayat baru

Mungkin itu juga boleh menjadikan anak hafiz pada usia yang muda?Insya Allah, kalau istiqomah mak dan ayah melakukannya.

Sama juga dengan doa-doa harian. Kerap mengulangnya pada pendengaran kanak-kanak (bahkan sejak bayi lagi) memudahkan mereka menghafalnya. Sebelum mereka mengenal huruf, nombor dan perkataan, tak usah paksakan menghadap mushaf Al-Quran semata-mata untuk mengaji.Rangsang pendengaran terlebih dahulu, insya Allah mereka lebih mudah menghafaz.

Selamat mendidik!

Friday 2 April 2010

Makan!

Ibu-ibu yang hamil sering mengalami masalah perubahan selera makan. Tidak berselera, kurang selera atau selera yang berubah sama sekali. Jangan bimbang. Selagi ianya memenuhi keperluan nutrisi badan, anda bebas untuk makan apa sahaja. Jom kita tengok apa yang bagus dimakan (dan mudah didapati di Mesir!).

  • Kismis (untuk dimakan pada waktu lapang, ganti kepada junk food).
  • Pisang (merupakan pembekal tenaga 'segera').
  • Aruzz billaban, yogurt dan zabado ( sesuai dimakan jika anda kurang gemar minum susu begitu sahaja).
  • Roti 'ish dan fino (boleh menggantikan nasi jika semasa hamil anda tidak berselera dengan nasi).
  • Kekacang (sama seperti kismis, murah dan mudah didapati).
  • Kacang soya (untuk buat homemade air soya, tapi kena rajin sikit lah).
  • Telur (protein sangat penting ketika hamil, dan ikan pula susah didapati, jadi mudah juga makan telur).

Makanan-makanan di atas nampak biasa sahaja kan? Tetapi jika menjadi menu semasa hamil, insya Allah anda sihat dan bakal melahiran bayi yang sihat juga!

Simple menu yang boleh anda buat:
  • Makan roti cicah kari. Yummy!
  • Cekodok pisang, lepat pisang, pancake pisang, kek pisang.....apa lagi ya?
  • Sandwich telur, telur separuh masak, scrambled eggs, roti telur....
  • Makan cornflakes (dengan susu ya) tambah kismis dan buah (strawberi/pisang).
  • Puding roti

Hmmm...dah lapar pula. Sesiapa ada menu yang lain pula???

PS: Biasanya orang kata bayi yang lahir di Mesir tegap dan lebih berisi berbanding bayi yang lahir di Malaysia. Petuanya adalah dengan banyakkan memakan roti, 'ish/fino, aruzz billaban dan yogurt serta minum susu. Err, mungkin anak anda juga boleh menjadi tinggi (hehe, cubalah!).

PPS:  Bukan sahaja sihat untuk ibu mengandung, untuk seisi keluarga pun bagus. Kurangkan pemakanan berminyak dan berlemak yang sering diamalkan oleh masyarakat Melayu, ok?

Tuesday 30 March 2010

Ultrasound semasa mengandung (trimester kedua dan ketiga)

Tujuan:
  • Melihat perkembangan fetus (baik/terbantut).
  • Melihat denyutan nadi fetus.
  • Untuk mengetahui kualiti dan kuantiti amniotic fluid (air ketuban).
  • Mengetahui kedudukan placenta (uri) dan jaraknya dengan cervix (pangkal rahim).
  • Mengetahui umur dan berat fetus.
  • Mengetahui jantina bayi yang bakal dilahirkan.
  • Melihat kedudukan dan keadaan rahim secara keseluruhan.


http://pregnancy.about.com/od/fetus/ig/20-Week-Ultrasounds/20-Week-Ultrasound-Face.-U3t.htm
 
Gambar ultrasound semasa kehamilan 20 minggu menunjukkan muka bayi.





 http://pregnancy.about.com/cs/ultrasounds/l/bluspic3y.htm

Gambar ultrasound semasa kehamilan 36 minggu menunjukkan muka bayi.



Haaa, cuba teka, ini gambar apa? (Ultrasound pada minggu ke 20).


http://pregnancy.about.com/od/fetus/ig/20-Week-Ultrasounds/20-Week-Ultrasound-Feet.htm


 ..........
..........


..........


.........

Sepasang kaki yang comel!

Sunday 28 March 2010

Ultrasound semasa mengandung (trimester pertama)

Trimester: istilah yang digunakan bagi tempoh setiap tiga bulan semasa mengandung. Trimester pertama dari awal kehamilan hingga bulan ketiga, trimester kedua dari awal bulan keempat hingga tamat bulan keenam dan trimester ketiga adalah untuk tiga bulan terakhir kehamilan.


Kenapa doktor melakukan ultrasound pada trimester pertama?
  • Melihat uterus dan gestational sac (pundi yang mengandungi embryo)
  • Melihat embryo wujud atau tidak (sebab ada kes gestational sac tanpa embryo)
  • Mengukur CRL(= Crown-Rump length) iaitu dari hujung kepala ke hujung punggung.
  • Mengesan denyutan nadi (tanda embryo itu hidup).
  • Memastikan kehamilan normal atau tidak (contoh kehamilan luar rahim).
  • Mengetahui jumlah embryo (masa ni boleh tahu hamil seorang atau kembar atau lain-lain).



Sumber: http://www.brooksidepress.org/Products/Military_OBGYN/Ultrasound/1st_trimester_ultrasound_scannin.htm


* (Yang hitam pekat tu gestational sac, dan tengah-tengah tu embryo . Ada dua simbol  " + " yang sebenarnya menunjukkan ukuran CRL. )


Sumber: http://www.brooksidepress.org/Products/Military_OBGYN/Ultrasound/1st_trimester_ultrasound_scannin.htm

*Yang ni pula menunjukkan kehamilan kembar (ada dua embryo).


Vocabulary:

Gestational sac = pundi yang mengandungi embryo
Trimester = tempoh yang digunakan untuk setiap tiga bulan semasa kehamilan.
Embryo =istilah untuk telur/ovum yang telah disenyawakan oleh sprema dan melekat pada rahim, sehingga berusia 18 minggu.

Friday 26 March 2010

Hormat hak orang lain

Salah satu kelebihan anak-anak pelajar Malaysia yang lahir di Mesir ini ialah ada raaaaaaamai achik dan ammu ( aunties dan uncles). Jika si ibu ahli kepada persatuan negeri A, dan ayah pula ahli persatuan negeri B, si anak tadi seperti mempunyai dua kampung yang besar :) Seronok melihat telatah achik-achik dan ammu-ammu melayan si kecil itu.

Tetapi, ibubapa perlu peka kepada satu perkara: ajarlah si anak menghormati hak achik dan ammu.


1) Waktu melawat :
  • Jika mahu kerap datang ke asrama pelajar/rumah negeri, carilah waktu yang tidak membebankan tuan rumah. Ambil kira waktu-waktu yang sering dijadikan sebagai waktu rehat, untuk membolehkan tuan rumah berehat tanpa gangguan, contoh selepas Zohor atau selepas jam 10 malam.
  • Maklumkan terlebih dahulu kedatangan anda, jangan terus terjah sehingga menyebabkan tuan rumah kekalutan.
  • Elakkan terlalu lama berada di rumah mereka kerana sudah pasti mereka juga mempunyai kerja/perkara lain yang hendak dilakukan.
  • Pada musim imtihan, jangan biarkan anak anda mengganggu tuan rumah kerana tahap 'stress' ketika itu lebih daripada biasa.
2) Penggunaan barang :
  • Ajar si anak supaya berkelakuan baik di rumah orang lain. Ini termasuk tidak sewenang-wenangnya menyentuh, memunggah atau membuka barang-barang tuan rumah, walaupun kebiasaannya tuan rumah berkata 'tidak apa'.
  • Latih si anak minta izin jika mahukan sesuatu daripada tuan rumah, contoh ingin bermain game di laptop tuan rumah. 
  • Usah bertangguh untuk memarahi/menegur anak jika dia melanggar apa yang telah diajar. Jika ibubapa menangguhkan teguran, si anak beranggapan ibubapa hanya berkuasa di rumah sahaja.
3)  Membalas sapaan :
  • Mengucapkan salam, memberi senyuman dan bersalam tangan perlu dipraktikkan sebagai tanda menghormati orang yang lebih tua.
  • Jangan biarkan anak anda bersuara tinggi, bersikap kasar dan biadap, walaupun mereka bermaksud sebagai bergurau-senda dengan achik dan ammu. Jika achik/ammu bergurau secara kasar, minta mereka ubah cara supaya akhlak anak anda tidak mendapat kesan buruk.

Jika di Malaysia, kita lebih peka kerana mempunyai nenek, datuk, makcik, pakcik, jiran sekampung dan rakan-rakan sepejabat yang boleh memberi teguran terhadap perkara ini. Sedangkan di Mesir, kita masih lagi di dalam kelompok sesama pelajar. Oleh itu, sentiasa perhatikan dengan siapa anak anda bergaul dan bergurau, untuk memastikan si anak membesar dengan pengaruh yang baik.

Thursday 25 March 2010

Bertungku dan berpantang

Pelajar perubatan: Bertungku dan berpantang ni lepas bersalin ni takde kesan sangat. Nak buat, buat. Tak buat pun takpe...

Pelajar bukan perubatan: Ehhhh, mak kita cakap MESTI pantang la. Bertungku pun kena buat, kalau tak nanti sakit-sakit la badan awak...


Kiranya ada dua pandangan dalam hal bertungku dan berpantang ni:
  • Ada yang menganggap ia hanya sekadar amalan masyarakat kita, dan tidak disokong oleh kajian perubatan, bahkan ada sesetengah amalan itu bertentangan pula dengan pendapat perubatan moden.
  • Ada yang menyokong, kerana menurut pengalaman mereka dan juga kajian perubatan yang lain, bertungku dan berpantang membantu memulihkan ibu yang baru bersalin.

Tapi berpantang di Mesir mudah sahaja sebenarnya. Yang penting, jaga pemakanan dan kebersihan diri.
Bertungku juga boleh dibuat mengikut kemampuan. Jika ada sahabat-sahabat untuk membantu, itu lebih baik. Jika anda bersendirian, lakukan mana yang tercapai oleh tangan anda, atau minta tolong suami.

Beberapa amalan selepas bersalin yang sering dilakukan:
  • Bertungku = untuk melancarkan aliran darah dan memanaskan badan. Orang dahulu kata ianya untuk mengecutkan rahim. Tetapi ada artikel perubatan mengatakan, sebenarnya rahim tetap mengecut (samada bertungku atau tidak) secara semulajadi dalam masa 40 hari selepas bersalin. Jadi, mungkin bertungku itu MEMBANTU proses tersebut.
  • Berpantang makan = orang Melayu lazimnya menyebut supaya ibu menjauhi makanan 'sejuk'. Ada juga yang tidak membenarkan minum air terlalu banyak. Tetapi sebenarnya yang penting adalah makanan seimbang. Amalan hanya membenarkan minum segelas air sehari adalah salah kerana ibu perlukan air untuk elak dehydration di samping untuk menyusukan anak. Makan buah-buahan dan sayur-sayuran. Daing dan ayam juga penting. 
  • Herba/jamu =  ini boleh check dengan doktor samada herba/jamu yang anda hendak makan mempunyai kesan sampingan atau tidak. Sesetengah orang tidak sesuai memakan jamu/herba kerana 'panas dalam' dan menyebabkan bayi juga menerima kesan. Tetapi memang herba-herba Melayu mempunyai kebaikan yang tersendiri yang sudah dikaji.
  • Tidak mandi/ jarang-jarang mandi =  Errr, sebenarnya tidak mandi langsung adalah tidak lojik kerana sudah pasti badan ibu tidak selesa apabila tidak dibersihkan. Malahan, ia menggalakkan jangkitan kuman. Yang betulnya ialah membersihkan diri dan kawasan vagina, serta kerap tukar 'pad' semasa tempoh keluar darah nifas. Gunalah air suam (tidak terlalu sejuk/panas) dan sentiasa pastikan badan segar. Jika berpilis/mengurut dengan minyak membuatkan ibu tidak selesa, tidak menjadi masalah untuk ibu meninggalkan amalan itu.
  • Berehat = Bersalin adalah satu proses yang memenatkan, terutamanya bersalin normal. Oleh itu, biarlah suami yang melakukan kerja-kerja rumah sehingga ibu benar-benar sihat.


Setiap ibu yang bersalin mempunyai pengalaman berbeza semasa membuat amalan-amalan selepas bersalin ini. Oleh itu, janganlah terlalu risau jika anda tidak mampu mengikut kesemua amalan yang disuruh ibubapa, dan boleh dapatkan nasihat doktor jika berasa musykil mengenai hal ini. Banyakkan juga membaca, bertanya dan buat rujukan.



PS: Macam mana ibu-ibu di Mesir berpantang? Akan ada post lain, Insya Allah.

Monday 22 March 2010

Naik kapal terbang

Nak bersalin di sini atau balik ke Malaysia?

Itu mungkin antara soalan yang kerap ditanya oleh rakan-rakan apabila mengetahui anda sedang mengandung (di Mesir).

Secara umumnya, tiada masalah untuk wanita mengandung menaiki kapal terbang untuk perjalanan jauh. Tetapi mereka tetap digalakkan supaya mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu. Sesetengah keadaan - seperti anemia yang teruk atau rahim tidak kuat -  mungkin meningkatkan risiko terhadap kehamilan anda.

Panduan mudah jika merancang pulang ke Malaysia semasa mengandung:
  • Rancang supaya anda boleh melakukan perjalanan tersebut semasa dalam trimester kedua (kandungan berusia 4-6 bulan). Ianya adalah tempoh di mana ibu mengandung biasanya lebih sihat berbanding awal kehamilan, dan risiko keguguran dan kelahiran pra-matang juga berada di tahap yang terendah.
  • Periksa polisi syarikat penerbangan berkaitan penumpang wanita yang mengandung. Ada syarikat yang memastikan seorang doktor disediakan bagi membantu penumpang tersebut jika diperlukan.
  • Pilih tempat duduk yang sesuai. Terutama sekali bagi memudahkan anda keluar masuk (untuk ke tandas) serta melunjurkan kaki.
  • Memakai tali pinggang di bawah bahagian perut/atas peha.
  • Pastikan peredaran darah berjalan lancar dengan kerap berjalan (lebih kurang setiap setengah jam), melakukan senaman kaki dan pinggang (jangan duduk dalam satu-satu posisi untuk tempoh lama).
  • Minum banyak air.

Saturday 20 March 2010

Perancangan Keluarga

Benar, bayi itu adalah rezeki. Tetapi perancangan keluarga tidak seharusnya dilihat sebagai kaedah mengehadkan bilangan anak, sebaliknya ia adalah cara untuk memastikan setiap kelahiran bayi adalah benar-benar dinantikan dan istimewa.

Bila mahu dapat anak selepas berkahwin?
Berapa orang anak yang dimahukan dalam hidup anda berdua?
Apakah jarak umur yang sesuai antara seorang anak dengan anak berikutnya?

Soalan-soalan di atas adalah sebahagian daripada perancangan keluarga yang perlu dititikberatkan oleh pasangan berkahwin.

Mengapa?
  • Memberi peluang ibu sembuh sepenuhnya (fizikal, mental dan emosi) selepas satu-satu kelahiran.
  • Memberi peluang bayi/anak mendapat perhatian sewajarnya untuk dua tahun pertama.
  • Supaya tidak sulit dalam sudut kewangan.
  • Mengelakkan pengguguran/kelahiran yang tidak dikehendaki.
Kaedah:
  • Cara semulajadi: tidak melakukan hubungan kelamin 3 hari sebelum dan selepas tempoh subur isteri.
  • Cara semulajadi: suami tidak memancutkan mani ke dalam faraj isteri.
  • Pil perancang keluarga.
  • Intrauterine device (IUD).
  • Suntikan hormon (progestrone)
  • Kondom

Peratus keberkesanan untuk cara semulajadi ialah 75%, manakala pil, IUD dan suntikan hormon berkesan sekitar 92-99%.

Kebanyakan di kalangan kita menganggap Islam melarang perancangan keluarga. Tetapi fikirkanlah, jika si ibu baru sahaja melahirkan anak, dan tiga bulan kemudian dia mengandung lagi, sebenarnya fizikal ibu masih belum cukup kuat dan sihat. Anak yang pertama tadi pula biasanya diberhentikan susuan badan kerana risau kandungan tidak cukup nutrisi. Sedangkan Islam sangat menggalakkan ibu menyusu anak sehingga umurnya dua tahun.

Oleh itu, marilah kita tingkatkan lagi kesedaran mengenai perancangan keluarga. Rujuklah doktor untuk mengetahui kaedah terbaik bagi anda dan pasangan anda, serta rujuk para ustaz dan ustazah untuk mengetahui hukum fiqh yang berkaitan.

ps: baca sini untuk mengetahui hukum fiqh berkaitan pil perancang, IUD, kaedah pemandulan dan lain-lain.

Thursday 18 March 2010

Tahnik

Terima kasih Ummu Handzolah kerana memberikan topik menarik, iaitu TAHNIK.

Tahnik merupakan sunnah Nabi s.a.w. dan sebagai orang Islam, kita yakin bahawa setiap sunnah itu ada kebaikannya, samada dari segi fizikal, emosi, rohani dan juga saintifik.

Sudah ada beberapa blog dan artikel mengenai kebaikan tahnik dalam sudut perubatan. Kebanyakannya daripada sumber ini:

Makalah Dr. Muhammad ‘Ali Al-Bari, dalam Majalah Al-I’jaaz Al-Ilmiy No. 04. (Abm) www.alsofwah.or.id

Selamat membaca! :) 

Wednesday 17 March 2010

Tarikh Jangkaan Bersalin

Tahniah puan, anda mengandung. Jangkaan bersalin ialah .... 

Okay, dialog di atas tiada di dalam klinik Dr. Azzah :)

Tetapi apabila kita telah disahkan mengandung, doktor akan membuat kira-kira untuk mendapat tarikh jangkaan bersalin.

Pengiraan yang dilakukan berdasarkan hari pertama untuk kitaran haid terakhir ibu mengandung tadi.
Mengikut kajian,secara puratanya bayi mengambil masa 40 minggu di dalam kandungan untuk terbentuk dengan sempurna. Oleh itu, tarikh jangkaan bersalin ialah 280 hari (40 minggu) selepas hari pertama kitaran haid.

Namun, hanya 10% wanita bersalin tepat pada tarikh jangkaan tersebut. Separuh daripada wanita-wanita bersalin dalam jangka masa seminggu daripada tarikh jangkaan, tetapi 90% bersalin dalam masa dua minggu.

Selain kiraan sebegitu, ada satu lagi kaedah yang digunapakai, iaitu menggunakan ultrasound (yang biasanya kita sebut 'scan baby'). Umur fetus diketahui berdasarkan ukuran panjang fetus, dan tarikh jangkaan bersalin dapat dikira oleh mesin ultrasound tadi. Cuba lihat pada helaian yang anda perolehi selepas membuat ultrasound. Ada tertulis (kecil sahaja) EDD = (tarikh ....).

EDD itulah estimated due date =tarikh jangkaan bersalin.


Oleh itu, tidak perlu dirisaukan apabila bayi anda masih belum keluar pada tarikh yang dijangkakan doktor. Namun doktor akan membuat pemeriksaan untuk memastikan bayi dan ibu tidak mempunyai masalah lain yang menganggu proses kelahiran.


Istilah yang anda jumpa jika membaca website Inggeris:

Last menstrual period (LMP) = kitaran haid terakhir
Gestation = kandungan
Estimated due date = tarikh jangkaan bersalin

Monday 15 March 2010

Pendekatan positif

Beberapa cara pendekatan positif dalam mendidik anak-anak:

1- Kurangkan penggunaan istilah 'Jangan!'.

Contoh: a) Jangan panjat kerusi! b) Jangan masuk dapur!
Kerana apa yang mereka fokus ialah 'panjat kerusi' dan 'masuk dapur'.

Berikan alternatif kepada arahan tadi.
Contoh: a) Turun ke bawah. b) Pergi main di ruang tamu.


2- Tidak menunjukkan reaksi yang melampau apabila anak anda mengamuk, meragam atau memberontak.

Sebaik-baiknya nyatakan secara tegas bahawa kelakuannya tidak boleh dierima, kemudian alihkan anak anda daripada tempat tersebut.

Contoh situasi: Adi mengamuk di sebuah kedai permainan kerana ibunya enggan membelikan kereta yang dia kehendaki.

Si ibu hendaklah nyatakan dengan tegas, mengamuk bukan cara yang sesuai di waktu dan tempat itu. Beri sebab kenapa si ibu tidak menuruti kehendak Adi. Kemudian alihkan Adi daripada kadai permainan itu ke tempat lain, seperti kedai baju atau kedai buku.

Dengan ini, anak tidak membuat persepsi bahawa dengan berkelakuan negatif dia akan mendapat perhatian yang dikehendaki.

Mengalihkan anak ke kawasan lain pula bertujuan meredakan emosi yang terbit di kawasan pertama, serta mengalihkan tumpuan anak tadi kepada benda/persekitaran baru.

3- Puji, peluk dan cium.

Perbuatan positif daripada anak (contoh mematuhi arahan ibubapa, mengemas permainan, menolong kawan)  seharusnya diikuti dengan galakan daripada ibubapa. Ini memberikan semangat kepada anak untuk mengulangi perbuatan yang baik. Jangan malu untuk memuji, memeluk dan mencium anak anda di hadapan orang lain.

Sunday 14 March 2010

Pakaian bayi/kanak-kanak

Kenapa ada post ini?
Kerana acapkali saya perhatikan ibubapa yang membawa bayi/anak kecil ke luar rumah dengan pakaian yang nipis/selapis sahaja, walaupun bayi itu baru berumur 3 bulan.

Musim panas.

  1. Pakaikan pakaian yang diperbuat daripada kapas.
  2. Tidak terlalu ketat dan tidak terlalu longgar, terutamanya di bahagian leher dan badan.
  3. Jangan biarkan bayi berpeluh, untuk mengelakkan ruam. Pasanglah kipas di dalam bilik, tetapi tidak dihalakan secara terus ke arah bayi.
  4. Tukar lampin/pampers bayi sekurang-kurangnya 4 jam sekali. Periksa bahagian peha dan kemaluan anak anda jika ada ruam lampin (ini boleh menyebabkan bayi sakit dan tidak selesa).
  5. Jika keluar rumah, pastikan anak memakai selapis lebih daripada apa yang anda pakai. (rujuk Rule of Thumb di bawah).
  6. Pakaikan topi semasa anak anda di luar rumah (jangan biarkan kepalanya terdedah secara terus di bawah terik matahari).

Musim sejuk.

  1. Pakaikan stokin dan sarung tangan, serta sarung kepala.
  2. Pastikan ketebalan baju sesuai untuk menghadapi suhu yang beransur naik/turun.
  3. Jika keluar rumah, pastikan anak anda memakai selapis lebih daripada apa yang anda pakai. (Rujuk Rule of Thumb di bawah). Jangan biarkan dada dan kaki bayi/kanak-kanak terdedah dengan angin sejuk.
  4. Periksa anak anda dari semasa ke semasa untuk mengetahui samada dia 'overheat' atau tidak. (maksudnya, baju terlalu tebal sehingga bayi tidak selesa).
  5. Bukalah jaket atau selimut anak apabila sampai ke destinasi (cth pusat membeli-belah, rumah rakan) yang biasanya tidak sesejuk keadaan luar.



Rule of Thumb
Bayi/kanak-kanak kecil hendaklah dipakaikan SELAPIS LEBIH daripada orang dewasa.

Saturday 13 March 2010

Demam kuning bayi

Di Mesir. Kalau bersalin pagi, petangnya ibu dan anak sudah boleh pulang ke rumah (jika kedua-duanya sihat). Jarang ibu-ibu di sini yang tinggal di hospital sehingga 2-3 hari, dan bayi  pun jarang diletakkan dalam inkubator yang ada rawatan fototerapi.


Rawatan fototerapi (berlampu biru/ungu) bertujuan untuk merawat demam kuning yang sering dialami bayi yang baru lahir. Tetapi jika anda bersalin di Mesir, boleh pulang awal. Jadi, bagaimana dengan demam kuning bayi anda?


Sebenarnya demam kuning bayi ada beberapa kategori.

1. Jika bayi mula mengalaminya dalam tempoh 24jam selepas kelahiran :
  • Penyakit hemolitik (melainkan ujian darah menunjukkan sebaliknya) = contohnya, ibu yang berdarah Rhesus negatif dan bayi berdarah Rhesus positif.
  • Jangkitan antenatal seperti syphilis, toxosplasma dan rubella.
2. Jika bayi mengalami demam kuning bermula hari kedua atau ketiga selepas lahir, kemungkinannya adalah:
  • Physiological jaundice.
  • Jangkitan antenatal (seperti di atas)
  • Criggler-Najlar syndrome (genetik)
3. Jika bayi mengalaminya selepas hari ke-3 hingga ke-7 kelahiran:
  • Jangkitan antenatal (seperti di atas)
  • Jangkitan dalam aliran darah (meningitis, penumonia, jangkitan pada tali pusat)
  • Spherocytosis dan G6PD deficiency

Demam kuning yang tidak perlu anda risau ialah physiolgical jaundice, iaitu apabila bayi mulai mengalami demam kuning pada hari kedua kelahiran dan biasanya beransur hilang selepas dua minggu. Ini terjadi kerana hati bayi masih belum matang untuk memproses bilirubin yang ada di dalam darah. Bilirubin yang telah diproses akan dibuang melalui najis. Semasa bayi di dalam kandungan, proses ini dilakukan oleh hati ibu.

Apa yang perlu anda buat ialah: 
  • Susukan bayi dengan susu badan sekerap mungkin, kerana ia menggalakkan bayi membuang air besar dengan lebih kerap, oleh itu menyingkirkan bilirubin daripada badan.
  • Jemur bayi bawah cahaya matahari PAGI, bukan tengahari atau petang ya...dan pastikan mata anak anda ditutup dengan kain/penutup mata untuk elak silau.

Ada juga petua-petua lain seperti amalkan memakan kurma semasa mengandung, beri bayi minum susu kambing dan mandikan dengan ubat sensei Cina. Tapi secara peribadi, saya tidak menyokong pemberian makanan luar (selain susu ibu) kepada bayi baru lahir kerana sistem penghadaman mereka belum dapat menerima makanan luar tersebut, dikhuatiri boleh menyebabkan kesan buruk seperti sembelit dan lain-lain.


Jika bayi mempunyai gejala-gejala berikut, dapatkan nasihat doktor sesegera mungkin:
  • Bayi mengalaminya sejak hari pertama kelahiran.
  • Demam kuning yang berterusan melebihi dua minggu.
  • Bayi kelihatan lembik/terkulai, enggan menyusu, suhu badan yang tinggi, sukar bernafas dan terlalu banyak tidur.

Seperti biasa, janganlah teragak-agak berjumpa doktor untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau bertanya apa sahaja yang anda musykilkan berkenaan bayi anda, walaupun anda berasa soalan yang anda ada remeh dan kecil.

    Friday 12 March 2010

    Menonton tv/komputer dan bermain games

    Senario 1:Mak nak masak, Siti duduk dulu ya. Tengok cerita ni, mak pasang di komputer, okay?
    Senario 2: Seorang anak kecil menangis-nangis kerana tidak mahu tidur malam. Akhirnya ibubapa yang keletihan,lalu memasang cerita kartun dan dia menonton sehingga awal pagi.

    Sekarang zaman teknologi. TV dan komputer mempunyai pro dan kontra dalam kehidupan seorang anak kecil.

    Oleh kerana sekarang ada banyak program untuk kanak-kanak, ibubapa hendaklah memilih program berbentuk 'educational' berbanding kartun-kartun 'superheroes', perlumbaan dan banyak aksi berlawan.

    Contoh:
    Blues' Clues

     

    Dora The Explorer

     
    Sesame Street


    Selain rancangan berbahasa Inggeris, ada juga rancangan mengaji, lagu-lagu doa Islam serta nasyid untuk kanak-kanak.


    Namun, ibubapa jangan menganggap program/rancangan video itu sebagai 'babysitter'. Elakkan bayi/anak menonton berseorangan. 

    Cara yang terbaik ialah ibubapa meneman anak mereka sambil berinteraksi dan berbual dengan si anak. Bincang dan 'point out' perkara-perkara positif yang ditunjukkan oleh karekter program itu. Bina pertanyaan berkaitan rancangan yang ditonton dan minta anak-anak menjawab/ceritakan semula kepada anda.

    Hadkan waktu menonton. Jika anak anda berusia dua tahun ke bawah, sebaik-baiknya tidak melebihi 30 minit sehari. Untuk yang lebih tua, tempoh yang disarankan ialah 1-2 jam sehari.


    Begitu juga dengan permainan komputer. Aktiviti menonton dan bermain komputer bukanlah ganti kepada senaman fizikal dan bermain di luar rumah. Sekiranya anda ingin anak berhenti menonton/bermain komputer...tawarkan kepadanya permainan yang lebih menarik perhatian, seperti membuat art craft, bermain layang-layang, main Lego dan sebagainya.

    Pastikan anak anda TIDAK KETAGIH rancangan tv/komputer.