Tetapi, ibubapa perlu peka kepada satu perkara: ajarlah si anak menghormati hak achik dan ammu.
1) Waktu melawat :
- Jika mahu kerap datang ke asrama pelajar/rumah negeri, carilah waktu yang tidak membebankan tuan rumah. Ambil kira waktu-waktu yang sering dijadikan sebagai waktu rehat, untuk membolehkan tuan rumah berehat tanpa gangguan, contoh selepas Zohor atau selepas jam 10 malam.
- Maklumkan terlebih dahulu kedatangan anda, jangan terus terjah sehingga menyebabkan tuan rumah kekalutan.
- Elakkan terlalu lama berada di rumah mereka kerana sudah pasti mereka juga mempunyai kerja/perkara lain yang hendak dilakukan.
- Pada musim imtihan, jangan biarkan anak anda mengganggu tuan rumah kerana tahap 'stress' ketika itu lebih daripada biasa.
- Ajar si anak supaya berkelakuan baik di rumah orang lain. Ini termasuk tidak sewenang-wenangnya menyentuh, memunggah atau membuka barang-barang tuan rumah, walaupun kebiasaannya tuan rumah berkata 'tidak apa'.
- Latih si anak minta izin jika mahukan sesuatu daripada tuan rumah, contoh ingin bermain game di laptop tuan rumah.
- Usah bertangguh untuk memarahi/menegur anak jika dia melanggar apa yang telah diajar. Jika ibubapa menangguhkan teguran, si anak beranggapan ibubapa hanya berkuasa di rumah sahaja.
- Mengucapkan salam, memberi senyuman dan bersalam tangan perlu dipraktikkan sebagai tanda menghormati orang yang lebih tua.
- Jangan biarkan anak anda bersuara tinggi, bersikap kasar dan biadap, walaupun mereka bermaksud sebagai bergurau-senda dengan achik dan ammu. Jika achik/ammu bergurau secara kasar, minta mereka ubah cara supaya akhlak anak anda tidak mendapat kesan buruk.
Jika di Malaysia, kita lebih peka kerana mempunyai nenek, datuk, makcik, pakcik, jiran sekampung dan rakan-rakan sepejabat yang boleh memberi teguran terhadap perkara ini. Sedangkan di Mesir, kita masih lagi di dalam kelompok sesama pelajar. Oleh itu, sentiasa perhatikan dengan siapa anak anda bergaul dan bergurau, untuk memastikan si anak membesar dengan pengaruh yang baik.
0 comments:
Post a Comment