Tuesday 30 March 2010

Ultrasound semasa mengandung (trimester kedua dan ketiga)

Tujuan:
  • Melihat perkembangan fetus (baik/terbantut).
  • Melihat denyutan nadi fetus.
  • Untuk mengetahui kualiti dan kuantiti amniotic fluid (air ketuban).
  • Mengetahui kedudukan placenta (uri) dan jaraknya dengan cervix (pangkal rahim).
  • Mengetahui umur dan berat fetus.
  • Mengetahui jantina bayi yang bakal dilahirkan.
  • Melihat kedudukan dan keadaan rahim secara keseluruhan.


http://pregnancy.about.com/od/fetus/ig/20-Week-Ultrasounds/20-Week-Ultrasound-Face.-U3t.htm
 
Gambar ultrasound semasa kehamilan 20 minggu menunjukkan muka bayi.





 http://pregnancy.about.com/cs/ultrasounds/l/bluspic3y.htm

Gambar ultrasound semasa kehamilan 36 minggu menunjukkan muka bayi.



Haaa, cuba teka, ini gambar apa? (Ultrasound pada minggu ke 20).


http://pregnancy.about.com/od/fetus/ig/20-Week-Ultrasounds/20-Week-Ultrasound-Feet.htm


 ..........
..........


..........


.........

Sepasang kaki yang comel!

Sunday 28 March 2010

Ultrasound semasa mengandung (trimester pertama)

Trimester: istilah yang digunakan bagi tempoh setiap tiga bulan semasa mengandung. Trimester pertama dari awal kehamilan hingga bulan ketiga, trimester kedua dari awal bulan keempat hingga tamat bulan keenam dan trimester ketiga adalah untuk tiga bulan terakhir kehamilan.


Kenapa doktor melakukan ultrasound pada trimester pertama?
  • Melihat uterus dan gestational sac (pundi yang mengandungi embryo)
  • Melihat embryo wujud atau tidak (sebab ada kes gestational sac tanpa embryo)
  • Mengukur CRL(= Crown-Rump length) iaitu dari hujung kepala ke hujung punggung.
  • Mengesan denyutan nadi (tanda embryo itu hidup).
  • Memastikan kehamilan normal atau tidak (contoh kehamilan luar rahim).
  • Mengetahui jumlah embryo (masa ni boleh tahu hamil seorang atau kembar atau lain-lain).



Sumber: http://www.brooksidepress.org/Products/Military_OBGYN/Ultrasound/1st_trimester_ultrasound_scannin.htm


* (Yang hitam pekat tu gestational sac, dan tengah-tengah tu embryo . Ada dua simbol  " + " yang sebenarnya menunjukkan ukuran CRL. )


Sumber: http://www.brooksidepress.org/Products/Military_OBGYN/Ultrasound/1st_trimester_ultrasound_scannin.htm

*Yang ni pula menunjukkan kehamilan kembar (ada dua embryo).


Vocabulary:

Gestational sac = pundi yang mengandungi embryo
Trimester = tempoh yang digunakan untuk setiap tiga bulan semasa kehamilan.
Embryo =istilah untuk telur/ovum yang telah disenyawakan oleh sprema dan melekat pada rahim, sehingga berusia 18 minggu.

Friday 26 March 2010

Hormat hak orang lain

Salah satu kelebihan anak-anak pelajar Malaysia yang lahir di Mesir ini ialah ada raaaaaaamai achik dan ammu ( aunties dan uncles). Jika si ibu ahli kepada persatuan negeri A, dan ayah pula ahli persatuan negeri B, si anak tadi seperti mempunyai dua kampung yang besar :) Seronok melihat telatah achik-achik dan ammu-ammu melayan si kecil itu.

Tetapi, ibubapa perlu peka kepada satu perkara: ajarlah si anak menghormati hak achik dan ammu.


1) Waktu melawat :
  • Jika mahu kerap datang ke asrama pelajar/rumah negeri, carilah waktu yang tidak membebankan tuan rumah. Ambil kira waktu-waktu yang sering dijadikan sebagai waktu rehat, untuk membolehkan tuan rumah berehat tanpa gangguan, contoh selepas Zohor atau selepas jam 10 malam.
  • Maklumkan terlebih dahulu kedatangan anda, jangan terus terjah sehingga menyebabkan tuan rumah kekalutan.
  • Elakkan terlalu lama berada di rumah mereka kerana sudah pasti mereka juga mempunyai kerja/perkara lain yang hendak dilakukan.
  • Pada musim imtihan, jangan biarkan anak anda mengganggu tuan rumah kerana tahap 'stress' ketika itu lebih daripada biasa.
2) Penggunaan barang :
  • Ajar si anak supaya berkelakuan baik di rumah orang lain. Ini termasuk tidak sewenang-wenangnya menyentuh, memunggah atau membuka barang-barang tuan rumah, walaupun kebiasaannya tuan rumah berkata 'tidak apa'.
  • Latih si anak minta izin jika mahukan sesuatu daripada tuan rumah, contoh ingin bermain game di laptop tuan rumah. 
  • Usah bertangguh untuk memarahi/menegur anak jika dia melanggar apa yang telah diajar. Jika ibubapa menangguhkan teguran, si anak beranggapan ibubapa hanya berkuasa di rumah sahaja.
3)  Membalas sapaan :
  • Mengucapkan salam, memberi senyuman dan bersalam tangan perlu dipraktikkan sebagai tanda menghormati orang yang lebih tua.
  • Jangan biarkan anak anda bersuara tinggi, bersikap kasar dan biadap, walaupun mereka bermaksud sebagai bergurau-senda dengan achik dan ammu. Jika achik/ammu bergurau secara kasar, minta mereka ubah cara supaya akhlak anak anda tidak mendapat kesan buruk.

Jika di Malaysia, kita lebih peka kerana mempunyai nenek, datuk, makcik, pakcik, jiran sekampung dan rakan-rakan sepejabat yang boleh memberi teguran terhadap perkara ini. Sedangkan di Mesir, kita masih lagi di dalam kelompok sesama pelajar. Oleh itu, sentiasa perhatikan dengan siapa anak anda bergaul dan bergurau, untuk memastikan si anak membesar dengan pengaruh yang baik.

Thursday 25 March 2010

Bertungku dan berpantang

Pelajar perubatan: Bertungku dan berpantang ni lepas bersalin ni takde kesan sangat. Nak buat, buat. Tak buat pun takpe...

Pelajar bukan perubatan: Ehhhh, mak kita cakap MESTI pantang la. Bertungku pun kena buat, kalau tak nanti sakit-sakit la badan awak...


Kiranya ada dua pandangan dalam hal bertungku dan berpantang ni:
  • Ada yang menganggap ia hanya sekadar amalan masyarakat kita, dan tidak disokong oleh kajian perubatan, bahkan ada sesetengah amalan itu bertentangan pula dengan pendapat perubatan moden.
  • Ada yang menyokong, kerana menurut pengalaman mereka dan juga kajian perubatan yang lain, bertungku dan berpantang membantu memulihkan ibu yang baru bersalin.

Tapi berpantang di Mesir mudah sahaja sebenarnya. Yang penting, jaga pemakanan dan kebersihan diri.
Bertungku juga boleh dibuat mengikut kemampuan. Jika ada sahabat-sahabat untuk membantu, itu lebih baik. Jika anda bersendirian, lakukan mana yang tercapai oleh tangan anda, atau minta tolong suami.

Beberapa amalan selepas bersalin yang sering dilakukan:
  • Bertungku = untuk melancarkan aliran darah dan memanaskan badan. Orang dahulu kata ianya untuk mengecutkan rahim. Tetapi ada artikel perubatan mengatakan, sebenarnya rahim tetap mengecut (samada bertungku atau tidak) secara semulajadi dalam masa 40 hari selepas bersalin. Jadi, mungkin bertungku itu MEMBANTU proses tersebut.
  • Berpantang makan = orang Melayu lazimnya menyebut supaya ibu menjauhi makanan 'sejuk'. Ada juga yang tidak membenarkan minum air terlalu banyak. Tetapi sebenarnya yang penting adalah makanan seimbang. Amalan hanya membenarkan minum segelas air sehari adalah salah kerana ibu perlukan air untuk elak dehydration di samping untuk menyusukan anak. Makan buah-buahan dan sayur-sayuran. Daing dan ayam juga penting. 
  • Herba/jamu =  ini boleh check dengan doktor samada herba/jamu yang anda hendak makan mempunyai kesan sampingan atau tidak. Sesetengah orang tidak sesuai memakan jamu/herba kerana 'panas dalam' dan menyebabkan bayi juga menerima kesan. Tetapi memang herba-herba Melayu mempunyai kebaikan yang tersendiri yang sudah dikaji.
  • Tidak mandi/ jarang-jarang mandi =  Errr, sebenarnya tidak mandi langsung adalah tidak lojik kerana sudah pasti badan ibu tidak selesa apabila tidak dibersihkan. Malahan, ia menggalakkan jangkitan kuman. Yang betulnya ialah membersihkan diri dan kawasan vagina, serta kerap tukar 'pad' semasa tempoh keluar darah nifas. Gunalah air suam (tidak terlalu sejuk/panas) dan sentiasa pastikan badan segar. Jika berpilis/mengurut dengan minyak membuatkan ibu tidak selesa, tidak menjadi masalah untuk ibu meninggalkan amalan itu.
  • Berehat = Bersalin adalah satu proses yang memenatkan, terutamanya bersalin normal. Oleh itu, biarlah suami yang melakukan kerja-kerja rumah sehingga ibu benar-benar sihat.


Setiap ibu yang bersalin mempunyai pengalaman berbeza semasa membuat amalan-amalan selepas bersalin ini. Oleh itu, janganlah terlalu risau jika anda tidak mampu mengikut kesemua amalan yang disuruh ibubapa, dan boleh dapatkan nasihat doktor jika berasa musykil mengenai hal ini. Banyakkan juga membaca, bertanya dan buat rujukan.



PS: Macam mana ibu-ibu di Mesir berpantang? Akan ada post lain, Insya Allah.

Monday 22 March 2010

Naik kapal terbang

Nak bersalin di sini atau balik ke Malaysia?

Itu mungkin antara soalan yang kerap ditanya oleh rakan-rakan apabila mengetahui anda sedang mengandung (di Mesir).

Secara umumnya, tiada masalah untuk wanita mengandung menaiki kapal terbang untuk perjalanan jauh. Tetapi mereka tetap digalakkan supaya mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu. Sesetengah keadaan - seperti anemia yang teruk atau rahim tidak kuat -  mungkin meningkatkan risiko terhadap kehamilan anda.

Panduan mudah jika merancang pulang ke Malaysia semasa mengandung:
  • Rancang supaya anda boleh melakukan perjalanan tersebut semasa dalam trimester kedua (kandungan berusia 4-6 bulan). Ianya adalah tempoh di mana ibu mengandung biasanya lebih sihat berbanding awal kehamilan, dan risiko keguguran dan kelahiran pra-matang juga berada di tahap yang terendah.
  • Periksa polisi syarikat penerbangan berkaitan penumpang wanita yang mengandung. Ada syarikat yang memastikan seorang doktor disediakan bagi membantu penumpang tersebut jika diperlukan.
  • Pilih tempat duduk yang sesuai. Terutama sekali bagi memudahkan anda keluar masuk (untuk ke tandas) serta melunjurkan kaki.
  • Memakai tali pinggang di bawah bahagian perut/atas peha.
  • Pastikan peredaran darah berjalan lancar dengan kerap berjalan (lebih kurang setiap setengah jam), melakukan senaman kaki dan pinggang (jangan duduk dalam satu-satu posisi untuk tempoh lama).
  • Minum banyak air.

Saturday 20 March 2010

Perancangan Keluarga

Benar, bayi itu adalah rezeki. Tetapi perancangan keluarga tidak seharusnya dilihat sebagai kaedah mengehadkan bilangan anak, sebaliknya ia adalah cara untuk memastikan setiap kelahiran bayi adalah benar-benar dinantikan dan istimewa.

Bila mahu dapat anak selepas berkahwin?
Berapa orang anak yang dimahukan dalam hidup anda berdua?
Apakah jarak umur yang sesuai antara seorang anak dengan anak berikutnya?

Soalan-soalan di atas adalah sebahagian daripada perancangan keluarga yang perlu dititikberatkan oleh pasangan berkahwin.

Mengapa?
  • Memberi peluang ibu sembuh sepenuhnya (fizikal, mental dan emosi) selepas satu-satu kelahiran.
  • Memberi peluang bayi/anak mendapat perhatian sewajarnya untuk dua tahun pertama.
  • Supaya tidak sulit dalam sudut kewangan.
  • Mengelakkan pengguguran/kelahiran yang tidak dikehendaki.
Kaedah:
  • Cara semulajadi: tidak melakukan hubungan kelamin 3 hari sebelum dan selepas tempoh subur isteri.
  • Cara semulajadi: suami tidak memancutkan mani ke dalam faraj isteri.
  • Pil perancang keluarga.
  • Intrauterine device (IUD).
  • Suntikan hormon (progestrone)
  • Kondom

Peratus keberkesanan untuk cara semulajadi ialah 75%, manakala pil, IUD dan suntikan hormon berkesan sekitar 92-99%.

Kebanyakan di kalangan kita menganggap Islam melarang perancangan keluarga. Tetapi fikirkanlah, jika si ibu baru sahaja melahirkan anak, dan tiga bulan kemudian dia mengandung lagi, sebenarnya fizikal ibu masih belum cukup kuat dan sihat. Anak yang pertama tadi pula biasanya diberhentikan susuan badan kerana risau kandungan tidak cukup nutrisi. Sedangkan Islam sangat menggalakkan ibu menyusu anak sehingga umurnya dua tahun.

Oleh itu, marilah kita tingkatkan lagi kesedaran mengenai perancangan keluarga. Rujuklah doktor untuk mengetahui kaedah terbaik bagi anda dan pasangan anda, serta rujuk para ustaz dan ustazah untuk mengetahui hukum fiqh yang berkaitan.

ps: baca sini untuk mengetahui hukum fiqh berkaitan pil perancang, IUD, kaedah pemandulan dan lain-lain.

Thursday 18 March 2010

Tahnik

Terima kasih Ummu Handzolah kerana memberikan topik menarik, iaitu TAHNIK.

Tahnik merupakan sunnah Nabi s.a.w. dan sebagai orang Islam, kita yakin bahawa setiap sunnah itu ada kebaikannya, samada dari segi fizikal, emosi, rohani dan juga saintifik.

Sudah ada beberapa blog dan artikel mengenai kebaikan tahnik dalam sudut perubatan. Kebanyakannya daripada sumber ini:

Makalah Dr. Muhammad ‘Ali Al-Bari, dalam Majalah Al-I’jaaz Al-Ilmiy No. 04. (Abm) www.alsofwah.or.id

Selamat membaca! :) 

Wednesday 17 March 2010

Tarikh Jangkaan Bersalin

Tahniah puan, anda mengandung. Jangkaan bersalin ialah .... 

Okay, dialog di atas tiada di dalam klinik Dr. Azzah :)

Tetapi apabila kita telah disahkan mengandung, doktor akan membuat kira-kira untuk mendapat tarikh jangkaan bersalin.

Pengiraan yang dilakukan berdasarkan hari pertama untuk kitaran haid terakhir ibu mengandung tadi.
Mengikut kajian,secara puratanya bayi mengambil masa 40 minggu di dalam kandungan untuk terbentuk dengan sempurna. Oleh itu, tarikh jangkaan bersalin ialah 280 hari (40 minggu) selepas hari pertama kitaran haid.

Namun, hanya 10% wanita bersalin tepat pada tarikh jangkaan tersebut. Separuh daripada wanita-wanita bersalin dalam jangka masa seminggu daripada tarikh jangkaan, tetapi 90% bersalin dalam masa dua minggu.

Selain kiraan sebegitu, ada satu lagi kaedah yang digunapakai, iaitu menggunakan ultrasound (yang biasanya kita sebut 'scan baby'). Umur fetus diketahui berdasarkan ukuran panjang fetus, dan tarikh jangkaan bersalin dapat dikira oleh mesin ultrasound tadi. Cuba lihat pada helaian yang anda perolehi selepas membuat ultrasound. Ada tertulis (kecil sahaja) EDD = (tarikh ....).

EDD itulah estimated due date =tarikh jangkaan bersalin.


Oleh itu, tidak perlu dirisaukan apabila bayi anda masih belum keluar pada tarikh yang dijangkakan doktor. Namun doktor akan membuat pemeriksaan untuk memastikan bayi dan ibu tidak mempunyai masalah lain yang menganggu proses kelahiran.


Istilah yang anda jumpa jika membaca website Inggeris:

Last menstrual period (LMP) = kitaran haid terakhir
Gestation = kandungan
Estimated due date = tarikh jangkaan bersalin

Monday 15 March 2010

Pendekatan positif

Beberapa cara pendekatan positif dalam mendidik anak-anak:

1- Kurangkan penggunaan istilah 'Jangan!'.

Contoh: a) Jangan panjat kerusi! b) Jangan masuk dapur!
Kerana apa yang mereka fokus ialah 'panjat kerusi' dan 'masuk dapur'.

Berikan alternatif kepada arahan tadi.
Contoh: a) Turun ke bawah. b) Pergi main di ruang tamu.


2- Tidak menunjukkan reaksi yang melampau apabila anak anda mengamuk, meragam atau memberontak.

Sebaik-baiknya nyatakan secara tegas bahawa kelakuannya tidak boleh dierima, kemudian alihkan anak anda daripada tempat tersebut.

Contoh situasi: Adi mengamuk di sebuah kedai permainan kerana ibunya enggan membelikan kereta yang dia kehendaki.

Si ibu hendaklah nyatakan dengan tegas, mengamuk bukan cara yang sesuai di waktu dan tempat itu. Beri sebab kenapa si ibu tidak menuruti kehendak Adi. Kemudian alihkan Adi daripada kadai permainan itu ke tempat lain, seperti kedai baju atau kedai buku.

Dengan ini, anak tidak membuat persepsi bahawa dengan berkelakuan negatif dia akan mendapat perhatian yang dikehendaki.

Mengalihkan anak ke kawasan lain pula bertujuan meredakan emosi yang terbit di kawasan pertama, serta mengalihkan tumpuan anak tadi kepada benda/persekitaran baru.

3- Puji, peluk dan cium.

Perbuatan positif daripada anak (contoh mematuhi arahan ibubapa, mengemas permainan, menolong kawan)  seharusnya diikuti dengan galakan daripada ibubapa. Ini memberikan semangat kepada anak untuk mengulangi perbuatan yang baik. Jangan malu untuk memuji, memeluk dan mencium anak anda di hadapan orang lain.

Sunday 14 March 2010

Pakaian bayi/kanak-kanak

Kenapa ada post ini?
Kerana acapkali saya perhatikan ibubapa yang membawa bayi/anak kecil ke luar rumah dengan pakaian yang nipis/selapis sahaja, walaupun bayi itu baru berumur 3 bulan.

Musim panas.

  1. Pakaikan pakaian yang diperbuat daripada kapas.
  2. Tidak terlalu ketat dan tidak terlalu longgar, terutamanya di bahagian leher dan badan.
  3. Jangan biarkan bayi berpeluh, untuk mengelakkan ruam. Pasanglah kipas di dalam bilik, tetapi tidak dihalakan secara terus ke arah bayi.
  4. Tukar lampin/pampers bayi sekurang-kurangnya 4 jam sekali. Periksa bahagian peha dan kemaluan anak anda jika ada ruam lampin (ini boleh menyebabkan bayi sakit dan tidak selesa).
  5. Jika keluar rumah, pastikan anak memakai selapis lebih daripada apa yang anda pakai. (rujuk Rule of Thumb di bawah).
  6. Pakaikan topi semasa anak anda di luar rumah (jangan biarkan kepalanya terdedah secara terus di bawah terik matahari).

Musim sejuk.

  1. Pakaikan stokin dan sarung tangan, serta sarung kepala.
  2. Pastikan ketebalan baju sesuai untuk menghadapi suhu yang beransur naik/turun.
  3. Jika keluar rumah, pastikan anak anda memakai selapis lebih daripada apa yang anda pakai. (Rujuk Rule of Thumb di bawah). Jangan biarkan dada dan kaki bayi/kanak-kanak terdedah dengan angin sejuk.
  4. Periksa anak anda dari semasa ke semasa untuk mengetahui samada dia 'overheat' atau tidak. (maksudnya, baju terlalu tebal sehingga bayi tidak selesa).
  5. Bukalah jaket atau selimut anak apabila sampai ke destinasi (cth pusat membeli-belah, rumah rakan) yang biasanya tidak sesejuk keadaan luar.



Rule of Thumb
Bayi/kanak-kanak kecil hendaklah dipakaikan SELAPIS LEBIH daripada orang dewasa.

Saturday 13 March 2010

Demam kuning bayi

Di Mesir. Kalau bersalin pagi, petangnya ibu dan anak sudah boleh pulang ke rumah (jika kedua-duanya sihat). Jarang ibu-ibu di sini yang tinggal di hospital sehingga 2-3 hari, dan bayi  pun jarang diletakkan dalam inkubator yang ada rawatan fototerapi.


Rawatan fototerapi (berlampu biru/ungu) bertujuan untuk merawat demam kuning yang sering dialami bayi yang baru lahir. Tetapi jika anda bersalin di Mesir, boleh pulang awal. Jadi, bagaimana dengan demam kuning bayi anda?


Sebenarnya demam kuning bayi ada beberapa kategori.

1. Jika bayi mula mengalaminya dalam tempoh 24jam selepas kelahiran :
  • Penyakit hemolitik (melainkan ujian darah menunjukkan sebaliknya) = contohnya, ibu yang berdarah Rhesus negatif dan bayi berdarah Rhesus positif.
  • Jangkitan antenatal seperti syphilis, toxosplasma dan rubella.
2. Jika bayi mengalami demam kuning bermula hari kedua atau ketiga selepas lahir, kemungkinannya adalah:
  • Physiological jaundice.
  • Jangkitan antenatal (seperti di atas)
  • Criggler-Najlar syndrome (genetik)
3. Jika bayi mengalaminya selepas hari ke-3 hingga ke-7 kelahiran:
  • Jangkitan antenatal (seperti di atas)
  • Jangkitan dalam aliran darah (meningitis, penumonia, jangkitan pada tali pusat)
  • Spherocytosis dan G6PD deficiency

Demam kuning yang tidak perlu anda risau ialah physiolgical jaundice, iaitu apabila bayi mulai mengalami demam kuning pada hari kedua kelahiran dan biasanya beransur hilang selepas dua minggu. Ini terjadi kerana hati bayi masih belum matang untuk memproses bilirubin yang ada di dalam darah. Bilirubin yang telah diproses akan dibuang melalui najis. Semasa bayi di dalam kandungan, proses ini dilakukan oleh hati ibu.

Apa yang perlu anda buat ialah: 
  • Susukan bayi dengan susu badan sekerap mungkin, kerana ia menggalakkan bayi membuang air besar dengan lebih kerap, oleh itu menyingkirkan bilirubin daripada badan.
  • Jemur bayi bawah cahaya matahari PAGI, bukan tengahari atau petang ya...dan pastikan mata anak anda ditutup dengan kain/penutup mata untuk elak silau.

Ada juga petua-petua lain seperti amalkan memakan kurma semasa mengandung, beri bayi minum susu kambing dan mandikan dengan ubat sensei Cina. Tapi secara peribadi, saya tidak menyokong pemberian makanan luar (selain susu ibu) kepada bayi baru lahir kerana sistem penghadaman mereka belum dapat menerima makanan luar tersebut, dikhuatiri boleh menyebabkan kesan buruk seperti sembelit dan lain-lain.


Jika bayi mempunyai gejala-gejala berikut, dapatkan nasihat doktor sesegera mungkin:
  • Bayi mengalaminya sejak hari pertama kelahiran.
  • Demam kuning yang berterusan melebihi dua minggu.
  • Bayi kelihatan lembik/terkulai, enggan menyusu, suhu badan yang tinggi, sukar bernafas dan terlalu banyak tidur.

Seperti biasa, janganlah teragak-agak berjumpa doktor untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau bertanya apa sahaja yang anda musykilkan berkenaan bayi anda, walaupun anda berasa soalan yang anda ada remeh dan kecil.

    Friday 12 March 2010

    Menonton tv/komputer dan bermain games

    Senario 1:Mak nak masak, Siti duduk dulu ya. Tengok cerita ni, mak pasang di komputer, okay?
    Senario 2: Seorang anak kecil menangis-nangis kerana tidak mahu tidur malam. Akhirnya ibubapa yang keletihan,lalu memasang cerita kartun dan dia menonton sehingga awal pagi.

    Sekarang zaman teknologi. TV dan komputer mempunyai pro dan kontra dalam kehidupan seorang anak kecil.

    Oleh kerana sekarang ada banyak program untuk kanak-kanak, ibubapa hendaklah memilih program berbentuk 'educational' berbanding kartun-kartun 'superheroes', perlumbaan dan banyak aksi berlawan.

    Contoh:
    Blues' Clues

     

    Dora The Explorer

     
    Sesame Street


    Selain rancangan berbahasa Inggeris, ada juga rancangan mengaji, lagu-lagu doa Islam serta nasyid untuk kanak-kanak.


    Namun, ibubapa jangan menganggap program/rancangan video itu sebagai 'babysitter'. Elakkan bayi/anak menonton berseorangan. 

    Cara yang terbaik ialah ibubapa meneman anak mereka sambil berinteraksi dan berbual dengan si anak. Bincang dan 'point out' perkara-perkara positif yang ditunjukkan oleh karekter program itu. Bina pertanyaan berkaitan rancangan yang ditonton dan minta anak-anak menjawab/ceritakan semula kepada anda.

    Hadkan waktu menonton. Jika anak anda berusia dua tahun ke bawah, sebaik-baiknya tidak melebihi 30 minit sehari. Untuk yang lebih tua, tempoh yang disarankan ialah 1-2 jam sehari.


    Begitu juga dengan permainan komputer. Aktiviti menonton dan bermain komputer bukanlah ganti kepada senaman fizikal dan bermain di luar rumah. Sekiranya anda ingin anak berhenti menonton/bermain komputer...tawarkan kepadanya permainan yang lebih menarik perhatian, seperti membuat art craft, bermain layang-layang, main Lego dan sebagainya.

    Pastikan anak anda TIDAK KETAGIH rancangan tv/komputer.

    Thursday 11 March 2010

    Infantile Rickets

    Sebab tiada playground, dan suasana luar yang berdebu, maka ibubapa Melayu di Mesir lebih gemar menyuruh anak-anak bermain di dalam rumah. Pada musim panas, anak-anak dibawa jalan pada malam hari kerana lebih nyaman. Pada musim sejuk, bimbang pula jika kerap terdedah kepada angin luar menyebabkan sakit dada dan selsema.

    Maka, Rickets menjadi salah satu masalah yang perlu dikenali oleh ibubapa.

    Apa benda pulak Rickets tu?

    Bukan raket tenis atau raket baminton ya mak-mak, ayah-ayah sekalian..

    Definisi:  Penyakit tulang yang disebabkan oleh kekurangan vitamin D.

    Bagaimana ia berlaku:  Vitamin D diperlukan untuk proses menyerap kalsium daripada usus. Tanpa vitamin D, kalsium tidak dapat diserap dan seterusnya menyebabkan tulang rapuh atau membentuk dengan tidak sempurna.

    Punca kurang vitamin D:
    • Kurang terdedah kepada cahaya matahari.
    • Kurang memakan makanan yang mengandungi vitamin D.


    Tanda-tanda:

    1) Pergelangan tangan membesar.

    http://gadabouthealth.com/tag/infants/



    2) Kaki bengkok
     

    http://www.endotext.org/parathyroid/parathyroid8/figures/figure1.jpg


    3) Lambat tumbuh gigi (delayed dentition)
    4) Tengkorak lembut (craniotabes)
    5) Tulang dada berbiji-biji (beading of ribs)


    Okay, yang penting untuk ibubapa di Mesir...
    • Pastikan anak anda terdedah kepada cahaya matahari, sekurang-kurangnya sehari sekali selama setengah jam. TERUTAMANYA pada musim sejuk. Jika rumah anda tidak dimasuk cahaya matahari, bawa anak anda bermain/berjemur di luar rumah. Waktu yang sesuai pada musim sejuk ialah sekitar jam 10 pagi-12 tengahari. Pada musim panas pula, waktu yang sesuai ialah sekitar 6.30 pagi- 8 pagi.
    • Makan makanan yang mengandungi Vitamin D  seperti telur kuning, hati dan daging lembu, cheese, minyak ikan, ikan tuna/salmon/makarel. Makanan yang diperkaya seperti bijirin oat dan susu tin juga sesuai diberikan kepada anak anda.
    • Berikan Vitamin D tambahan terutama kanak-kanak berumur 3 tahun ke bawah. Jumpalah doktor bagi mendapatkan preskribsi (atau tanya sahaja doktor di farmasi).


    Selain langkah pencegahan di atas, jika ke klinik/hospital, ibubapa bolehlah bertanya kepada doktor samada anak anda mempunyai masalah Rickets atau tidak . Ianya boleh diubati jika dikesan awal.

    Wednesday 10 March 2010

    Petua untuk Demam

    Guna asam jawa
    Asam jawa yang ada di dapur tu, cuba bancuhkan dengan sedikit air. Lebih pekat lebih baik. Kemudian sapukan di semua bahagian kepala dan pelipat-pelipat anggota badan. Kalau dapat diminum airnya dengan ditambah sedikit gula lebih baik.

    http://opahvsatuk.blogspot.com/2010/01/petua-melayu-tentang-anak-anda.html

    Guna Lemon
    1. Kupas 4-5 biji buah limon kuning sehingga nampak isinya
    2. Potong di bahagian tengah dan asingkan bijinya
    3. Masukkan dalam mesin pengisar, isikan 2-3 gelas air, dan tambah gula jika mahu.
    4. Kisar.
    5. Sedia untuk diminum. Lebih baik jika diminum bersama isi / hampas yang dikisar sekali. Anda juga boleh menapisnya jika mahu.
    Dalam sehari, cuba minum 2-3 kali (ketika sakit). Seminggu 1-3 kali. Ikut kesesuaian. Lebih sihat diminum setiap hari.

    http://ayzagursoy.wordpress.com/2007/10/07/petua-1-limon-lemon/

    Mengatasi bayi demam selepas disuntik
    Bagi ibu yang mempunyai anak dan sering demam setiap kali disuntik, bolehlah mencuba petua ini. Selepas anak anda disuntik, sapukan bawang kecil yang dipotong pada tempat yang disuntik. Seeloknya bawang tersebut hendaklah dibawa setiap kali anda keklinik. Insyaallah dengan cara ini dapat mengatasi demam anak.

    http://lacottageputraperdana.wordpress.com/2007/08/09/petua-tradisional-melayu/ 


    Haa...ni antara yang dapat dicari online...kalau rajin lagi, boleh tanya sendiri kat mak-mak kita, nenek-nenek kita, moyang ke..sedara mara ke...

    Tuesday 9 March 2010

    Udara dalam rumah

    Jika berpeluang menziarahi mutazawwijin lain, antara perkara yang saya perhatikan ialah pengudaraan di dalam rumah mereka.

    Ada rumah yang terlalu terperap udaranya. Tingkap bertutup rapat, kipas tidak dipasang, cahaya matahari pun tidak dapat masuk.

    Sebenarnya pengudaraan yang baik adalah penting bagi kesihatan kita. Udara yang terperap dan lembap menggalakkan pembiakan bakteria.

    Maka sebelum memilih rumah sewa, lihatlah kedudukannya. Tanyakan dua soalan ini:
    • Adakah terlalu terlindung sehingga tidak langsung dimasuki cahaya matahari ?
    • Adakah terlalu rendah (ardhiah) hingga menyukarkan untuk membuka tingkap? 

    Benar, harga yang murah adalah penting atas status kita sebagai pelajar. Tetapi apakah pula nilai kesihatan anda dan keluarga anda?

    Tips:
    • Pada musim panas, buka tingkap di sebelah malam atau selepas subuh untuk setengah jam ke satu jam. Waktu siang udaranya terlalu panas, jadi memang tidak selesa jika tingkap terbuka. Pasang kipas angin supaya udara di dalam rumah bergerak dan tidak terperap.
    • Pada musim sejuk, di waktu siang, buka daun tingkap kayu tetapi tutup tingkap cermin. (Tapi waktu malam tutuplah kedua-duanya, sejukkkk....). Suasana yang terlalu gelap atau terlalu bergantung kepada lampu bilik tidak sesuai, lebih-lebih lagi jika mempunyai anak kecil.

    Rumah adalah tempat anak kita membesar. Jadi sewajarnya ibubapa memastikan pengudaraan dan pencahayaan matahari yang baik bagi rumah masing-masing.

    Monday 8 March 2010

    Demam

    Apabila suhu badan bayi meningkat kepada 37.7 - 38.0 darjah C, bayi itu dikatakan demam.

    Demam (fever) adalah reaksi tubuh terhadap benda asing -seperti virus dan bakteria- yang masuk ke dalam tubuh. Peningkatan suhu badan menyebabkan virus/bakteria tadi tidak dapat bertahan di dalam badan dan mudah dimusnahkan oleh sistem imunisasi badan.

    Oleh itu, demam merupakan salah satu cara pertahanan badan yang penting.



    Apa yang boleh anda lakukan di rumah?

    - Pastikan bayi menyusu/minum air masak dengan kerap untuk mengelakkan kekurangan air dalam badan (dehydration).

    - Jika anak anda enggan makan, tidak mengapa. Asalkan kerap minum. Ini kerana sehari dua semasa demam, selera makan memang tiada, yang penting adalah air dalam badan mencukupi. Namun jika ia berterusan, sila jumpa doktor.

    - Berikan buah-buahan atau jus.

    - Lap/tuam badan anak dengan air suam. Jangan memandikan bayi yang demam panas dengan air sejuk, kerana dikhuatiri hypothermia (kehilangan suhu badan secara mendadak).

    - Jika mendapat antibiotik daripada doktor, makan ubat mengikut arahan dan tempoh waktu yang ditetapkan. Ini kerana jika berhenti sebelum waktunya, kemungkinan bakteria/virus menjadi resistant terhadap antibiotik tersebut, menyebabkan ubat itu tidak berkesan untuk melawan jangkitan akan datang.

    - Jangan pakaikan anak dengan pakaian atau berselimut tebal (tapi jangan pula terlalu nipis). Pastikan pengudaraan bilik adalah baik dan segar.

    - Pada waktu malam, ibubapa hendaklah lebih berwaspada. Sebaik-baiknya tidur secara bergilir untuk menjaga bayi yang demam. Ini kerana demam yang terlalu panas boleh menyebabkan sawan.

    Namun, jika suhu bayi terlalu tinggi, atau mempunyai gejala-gejala lain lain seperti berlarutan lebih 5 hari, enggan menyusu, cirit-birit, tidak boleh tidur dan kerap menangis, ianya hendaklah diberi perhatian serius dan segera dibawa berjumpa doktor.

    PS: Saya tak tahu sejauh mana berkesannya petua-petua Melayu (seperti guna kunyit, air asam jawab dll) semasa bayi demam. Boleh dicari di Internet cara-caranya, dan keberkesanan tu terpulang pada individu kot...

    Sunday 7 March 2010

    Playdate#1 Flashback

    Alhamdulillah...

    Playdate #1 telah dapat dijalankan dengan jayanya. Kehadiran lebih daripada jangkaan. Terima kasih pada ibu-ibu dan si comel-si comel yang sudi hadir dan memeriahkan playdate tersebut.

    Oleh kerana kesuntukan masa, sesi Read-it-Aloud terpaksa di'join'kan dengan waktu 'Play Happily!'. Sesi Baby Sign Language dan Make Your Own Mask nampaknya berjaya mencapai matlamat.

    Antara si comel dan si 'handsome' yang hadir pada hari itu ialah:

    Nurul Iman
    Aisyah Humaira'
    Muiz
    Amru dan Umar
    Fatimah An-Nabawiyah
    Handzolah dan Habibullah
    Imam Alfateh
    Khadijah
    Abdul Rahman

    ...serta ada beberapa nama si kecil yang Ummu Alfateh tak ingat, cuma ingat rupa sahaja. Maaf ya sayang..

    Kehadiran yang ramai membuatkan keadaan sangat meriah sekali. Ada antara kanak-kanak tersebut yang cepat mesra dengan kawan baru, ada pula yang tunggu dan lihat, 'warm-up' dulu kata orang.

    Buat ibu-ibu pula, diharapkan ada input-input yang berguna daripada pertemuan sesama kita, dan sebarang kekurangan harap dimaafkan. Jika ada idea, pertanyaan atau pengalaman, bolehlah dikongsi bersama lagi. Maklumlah, kebanyakan antara kita baru memiliki seorang anak, hanya beberapa orang yang sudah mempunyai lebih dari seorang buah hati.

    Akhir kata, teirma kasih atas sokongan anda.

    P/S: Gambar-gambar di dalam proses upload...Ummu Iman, Ummu Handzolah dan lain-lain, bolehlah email ke saya ( adik_q[at]yahoo[dot]com.  ) Gambar dengan saya pun tak banyak sangat... Syukran awi awi!

    Saturday 6 March 2010

    First Aid Kit


    Setiap rumah sebaik-baiknya menyediakan satu kotak peti kecemasan, kerana kemalangan kecil sentiasa terjadi, contohnya luka disebabkan pisau, terhantuk pintu, terseliuh dan sebagainya. Di bawah adalah contoh kelengkapan first aid kit bagi keluarga yang mempunyai bayi/anak kecil :




    Digital termometer = untuk ketahui suhu badan anak semasa demam



    Medicine dropper =  menyuap ubat dengan lebih mudah serta mengikut sukatan ml.



    Nasal aspirator = menyedut keluar hingus anak yang selsema.




    Plaster =  menampal luka kecil.

    Bandage =  membalut luka besar (selepas diletak kapas) atau menyokong bahagian terseliuh

    Gunting kecil = pelbagai guna.

    Ice pack = tuam lebam/benjol.

    antiseptic wipe = membersihkan  bahagian yang luka.


    antiseptic cream =  disapu pada bahagian yang luka.



    antihisatamine cream = jika terkena gigitan serangga.



    oral rehydration salt = dicampur dalam air suam jika bayi/anak cirit-birit.


    * Jika anak anda menghidap penyakit lelah atau mempunyai allergi terhadap bahan tertentu seperti kacang, sengatan lebah atau makanan laut, pastikan anda sentiasa membawa ubatannya dan satu simpanan di dalam first aid kit. Semua ubatan atau bahan yang anda hendaklak sentiasa di'update' supaya tidak melepasi tarikh luput penggunaan.

    Friday 5 March 2010

    Adik nak makan?

    Kali ni post yang simple sahaja, tapi tetap penting, terutama jika anak anda kerap menghabiskan waktu dengan ammu-ammu dan achik-achik...

    Pesanlah kepada rakan-rakan yang tolong menjaga anak anda supaya TIDAK offer/memberi makanan ringan/junk food. Kadang-kadang orang bujang/belum berkahwin beranggapan ianya 'tidak mengapa' sedangkan kanak-kanal kecil perlu diajar pemakanan sihat dan seimbang.

    Begitu juga dengan air kopi,teh pekat atau nescafe. Milo atau air coklat okey laa :)

    Seeloknya bekalkan air susu, jus, yogurt, buah-buahan atau makanan yang anda bawa daripada rumah jika perlu meninggalkan anak kepada oranglain.

    Post ini adalah kerana saya pernah berjumpa dengan si kecil berusia setahun setengah yang minum kopi O di rumah achik-achik di asrama pelajar. 

    Sama-samalah kita tingkatkan kesedaran dalam hal ini, baik bagi yang telah berkeluarga mahupun masih bujang lagi.

    Thursday 4 March 2010

    Shaken Baby Syndrome

    Timang tinggi-tinggi,
    Sampai cucur atap,
    Belum tumbuh tinggi,
    Pandai baca kitab...


    Haa, apa yang tak kena dengan rangkap di atas?
    Timang tinggi-tinggi....itu memang sangat kerap orang Melayu lakukan. Anak kecil dilambung-lambung sambil diagah-agah.

    Tahukah anda, perbuatan itu boleh menyebabkan SBS (Shaken Baby Syndrome)?

    Definisi: Kecederaan atau kematian yang disebabkan oleh goncangan, lambungan atau tolakan yang kuat, yang menyebabkan kecederaan serius di otak.

    Siapa yang berisiko mengalami SBS: Bayi dan kanak-kanak di bawah 3 tahun.

    Perbuatan yang boleh menyebabkan SBS: 
    • Melambung-lambung bayi ke udara
    • Menggoncang bayi di dalam buaian dengan kuat
    • Mendodoi bayi dengan kasar
    • Berjoging atau berlari sambil mendukung bayi/anak
    Akibat SBS:
    • Pendarahan dalam otak
    • Kecederaan tulang belakang
    • Sawan
    • Otot kaku
    • Buta/kecederaan mata
    Mengapa SBS boleh terjadi?

    Bayi dan kanak-kanak di bawah 2 tahun mempunyai otot di leher yang lembut dan tidak tegap. Goncangan dan gegaran yang kuat memberi kesan terutamanya kepada salur darah di otak.

    Pencegahan SBS:
    • JANGAN menggoncang bayi/kanak-kanak kecil.
    • Elakkan memegang bayi semasa anda sedang bergaduh/bertengkar dengan pasangan.
    • Elakkan mendodoi bayi dalam keadaan marah.
    • Pegang bayi sambil menyokong bahagian leher, terutama sekali jika anda menggunakan 'baby carrier'.

    Kepada ibubapa yang baru sahaja mendapat anak, beringatlah. Pastikan anda, ahli keluarga dan rakan-rakan memegang bayi dengan cara yang betul.

    Wednesday 3 March 2010

    Antenatal/prenatal visits

    Head note: Jangan bersikap sambil lewa apabila ada temujanji dengan doktor. Ini penyakit yang kerap berlaku di kalangan kita di Mesir, atas alasan sibuk, malas dan 'saya rasa sihat sahaja'. Anda mahu pertaruhkan nyawa bayi anda?

    Prenatal visits =  perjumpaan dengan doktor semasa mengandung.

    Apabila isteri tidak mengalami kitaran haid bulanan seperti biasa, ada kemungkinan beliau hamil.
    Untuk mengesahkan kehamilan, caranya mudah sahaja. Beli 'pregnancy test kit' di farmasi dan ikut arahan yang tertera di kotak kit tersebut.

    Ujian kehamilan di rumah itu hendaklah dibuat menggunakan air kencing di awal pagi, sebelum si isteri makan atau minum apa-apa. Ini untuk memastikan air kencing tidak mengandungi bahan-bahan yang boleh mengganggu keputusan ujian tadi.

    • Jika ujian tadi adalah positif, bolehlah anda menemui mana-mana doktor O&G sebagai 'prenatal visit' yang pertama. (Jika keputusannya samar-samar, boleh juga bawa bersama 'test kit' tadi).

    Jadual prenatal visit:
    • Bulan pertama hingga bulan ketujuh kehamilan, bakal ibu perlu berjumpa doktor sebulan sekali.
    • Bulan kelapan kehamilan, setiap dua minggu sekali.
    • Bulan terakhir, seminggu sekali.

    Berikut adalah perkara yang doktor lakukan ketika 'prenatal visit' (pemerhatian berdasarkan perjumpaan dengan Dr. Azzah, Hayyu Sabiek):

    Perjumpaan pertama:
    Doktor memberi surat untuk dibawa ke hospital, di mana bakal ibu dikehendaki menjalani ujian darah. Ujian darah ini adalah untuk mengesahkan kehamilan, mengetahui jenis darah dan Rhesus, mengesan anemia/diabetes/darah tinggi dan penyakit-penyakit lain yang mungkin memerlukan perhatian serius semasa mengandung.

    Perjumpaan kedua :
    Doktor mengambil berat badan dan tekanan darah bakal ibu. Kemudian perut ibu di'ultrasound' untuk melihat janin (degupan jantung, anggaran size, terletak di rahim atau luar rahim). Doktor akan mengira jangkaan waktu bersalin. Kemudian bakal ibu mendapat kad yang mengandungi rekod-rekod di atas serta rekod peribadi yang lain dan perlu dibawa setiap kali berjumpa doktor.

    Perjumpaan seterusnya:

    -Doktor merekod berat badan bakal ibu untuk memastikan penambahan berat badan adalah selaras dengan usia kehamilan. Underweight dan overweight boleh mendatangkan mudarat kepada bayi dalam kandungan.
    -Tekanan darah juga diambil untuk memastikan masalah darah tinggi (kerap dialami semasa mengandung) dapat dikawal sekiranya ada. Selain itu, doktor juga akan memberikan ubat-ubat tertentu untuk dimakan semasa hamil, contohnya asid folik, vitamin tambahan dan kalsium.
    -Ultrasound yang dilakukan sekitar bulan keenam/ketujuh untuk mengetahui bayi dalam keadaan sihat atau mengalami  masalah 'congenital'. Jantina bayi juga boleh diketahui ketika ini.


    Pada bulan terakhir, doktor akan memeriksa pintu rahim menggunakan jari untuk mengetahui samada kepala bayi sudah berada di bawah dan di pintu rahim. Ini kerana jika kepala bayi masih belum turun, kemungkinan bayi dalam keadaan songsang.

    Prenatal visit adalah penting kerana maklumat-maklumat semasa perjumpaan tersebut dapat membantu doktor semasa kelahiran bayi, terutamanya jika timbul masalah tertentu seperti perlu pembedahan, atau bayi mengalami masalah jantung atau lain-lain.

    Oleh itu, para suami hendaklah memastikan isteri menghadiri prenatal visit, lebih-lebih lagi kerana kebanyakan bakal ibu mudah penat menjelang bulan-bulan terakhir kehamilan. Berilah sokongan dan bertanggungjawablah sepenuhnya supaya doktor dapat memantau kesihatan kedua-dua ibu dan anak.

    Tuesday 2 March 2010

    Rutin Tidur

    Ibubapa digalakkan membuat rutin tidur yang positif bagi anak-anak.

    Langkah-langkahnya ialah:
    1. Tetapkan waktu tidur pukul berapa...ianya mestilah masa yang sama setiap hari.
    2. Hentikan aktiviti/permainan anak 30 minit sebelum waktu tidur yang telah ditetapkan.
    3. Suramkan lampu bilik anak anda.
    4. Mandi, gosok gigi, baca buku atau bercerita ringkas setiap kali sebelum tidur adalah 'clue' bagi anak anda bahawa selepas itu dia perlu tidur.
    5. Puji anak anda keesokan paginya kerana mematuhi waktu tidur.

    Rutin di atas hendaklah dimulakan sejak anak memasuki peringkat 'toddler' (merangkak dan mula hendak bermain sendiri).

    Jika anak mengalami  masalah/gangguan ketika hendak tidur, amalkan :
    • Surah Al-fatihah dan Ayatul Kursi sekali, dihembus ke seluruh badan anak.
    • Surah 3 Qul, hembus ke tapak tangan anda, kemudian usap tubuh anak (3kali berturut-turut) .
    Lebih baik diamalkan sebelum tidur setiap malam, termasuk doa hendak tidur dan bangun tidur di waktu pagi.

    (Terima kasih kepada Detik Perjuangan atas info yang dikongsi)

    Monday 1 March 2010

    Wash your hands, please!

    Pernah tak anda menonton siri kartun Sin-chan mendapat adik baru? Dia mengajak kawan-kawan tadikanya ke rumah melawat adik barunya.

    Apakah yang mereka lakukan sebelum mendukung si adik?
    Ya, membasuh tangan!

    Sebenarnya Sin-chan telah mengajar kita salah satu perkara penting, iaitu membersihkan kedua-dua belah tangan sebelum mendukung bayi. Masyarakat Melayu masih kurang berkesedaran mengenai hal ini. Namun, jika kita rajin membaca dan melayari internet, sebenarnya para doktor menasihati supaya para pelawat mencuci tangan mereka terlebih dahulu sebelum menyentuh bayi yang baru lahir.

    Ini kerana bayi mempunyai sistem imunisasi badan yang rendah berbanding orang dewasa. Sentuhan merupakan satu cara pemindahan kuman yang kerap dan mudah berlaku. Apabila kita tidak mencuci tangan, maka bayi tadi berisiko untuk terdedah kepada jangkitan kuman.

    Oleh itu, ibubapa berperanan untuk mengingatkan rakan-rakan serta ahli keluarga yang datang melawat supaya mencuci tangan. Mungkin ada sesetengah orang berasa tersinggung, tetapi ingatlah bahawa ibubapa berhak memastikan kesihatan bayi mereka terjamin.

    Ibubapa boleh juga menyediakan gel antiseptik di tepi katil bayi, untuk memudahkan pelawat membersihkan tangan. Jika pelawat tidak sihat atau baru sembuh daripada sesuatu penyakit berjangkit, elakkan daripada memegang si bayi.

    Ingatlah, mencegah lebih baik daripada mengubati!

    Sebut sahaja 'gel antiseptik' kepada doktor di farmasi. Mudah didapati dan mudah digunakan (sapu sahaja ke tangan, tak perlu air/tisu).